Kes penipuan tawaran kerja di Negeri Sembilan babit kerugian RM1.2 juta

Bernama
November 16, 2021 14:45 MYT
Modus operandi digunakan suspek adalah dengan menawarkan iklan kerja dalam talian menerusi Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Kes jenayah melibatkan penipuan tawaran kerja di Negeri Sembilan merekodkan 78 kes dengan kerugian berjumlah RM1.2 juta yang dikesan dari awal tahun ini sehingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Supt Aibee Ab Ghani berkata, jumlah tersebut meningkat daripada rekod yang dilaporkan sepanjang tahun lepas dengan satu kes melibatkan kerugian RM7,140.
Katanya modus operandi digunakan suspek adalah dengan menawarkan iklan kerja dalam talian menerusi Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya.
"Mangsa kemudian akan berhubung melalui WhatsApp lalu diarahkan membuat bayaran ke dalam akaun individu terbabit.
"Pada peringkat awal mangsa dimaklumkan akan mendapat pulangan dan kemudiannya apabila sejumlah besar wang dimasukkan ke akaun berkenaan, suspek tersebut tidak dapat dihubungi lagi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Aibee menasihati orang awam agar berhati-hati dengan tawaran pulangan yang mudah dan besar selain tidak melakukan sebarang pembayaran ke mana-mana akaun individu kerana ia adalah akaun keldai.
-- BERNAMA
#sindiket penipuan #tawaran kerja #Negeri Sembilan #PDRM
;