Kes penipuan di Negeri Sembilan meningkat, kerugian cecah RM21.2 juta

Bernama
Mac 5, 2025 07:15 MYT
Ahmad Dzaffir menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan terperinci sebelum menyertai skim pelaburan terutamanya yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Jumlah kerugian akibat kes penipuan di Negeri Sembilan bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini meningkat kepada RM21.2 juta, berbanding RM15.5 juta untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Ketua Polis Negeri Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata jumlah kes juga meningkat kepada 526 pada Jan dan Feb 2025 berbanding 331 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
"Antara jenayah komersial yang menjadi trend adalah penipuan pelaburan iaitu saham, Forex, kripto dan emas yang mencatatkan 77 kes melibatkan kerugian berjumlah RM9.8 juta manakala sembilan kes bagi Love Scam berjumlah RM1 juta.
"Tipu tawaran kerja melalui medium platform media sosial merekodkan 56 kes dengan kerugian RM777,787.26 manakala tipu belian barang secara dalam talian pula 92 kes melibatkan kerugian RM744,937.44," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata penipuan melalui telefon termasuk menyamar sebagai agensi penguat kuasa dan pegawai bank, merekodkan 36 kes yang melibatkan kerugian RM442.373.48, manakala pinjaman tidak wujud 67 kes dengan jumlah RM345,611.37.
Ahmad Dzaffir menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan terperinci sebelum menyertai skim pelaburan terutamanya yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.
"Dapatkan maklumat daripada sumber rasmi seperti portal Semakmule CCID, Alert List Bank Negara (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan jika terkesan dengan panggilan mencurigakan, hubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.
Beliau berkata orang ramai diingatkan tidak menyerahkan nombor pin akaun bank dan kod pengesahan transaksi (TAC) kepada pihak lain sekiranya tidak membuat sebarang transaksi perbankan internet bagi mengelakkan akaun digodam.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #media sosial #pelaburan #Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff #penipuan
;