Kes penguatkuasa JAIP ditembak mati: Skop siasatan diperluaskan

Bernama
November 17, 2013 07:08 MYT
Skop penyiasatan berhubung kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Abdul Malek, 49, yang mati ditembak pada 10 Nov lepas diperluaskan, kata
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar).
Katanya siasatan tidak hanya tertumpu kepada kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' semata-mata.
Beliau berkata polis melakukan siasatan dari semua sudut, tidak hanya bertumpu kepada bidang tugas mangsa yang dilaporkan sedang mengendalikan tiga kes iaitu ajaran sesat Tuhan Harun, ajaran Syiah dan operasi kelab malam.
"Polis juga akan memburu yang lain, bukan saja pengikut Tuhan Harun dipanggil, ada juga yang lain diminta tampil untuk membantu siasatan dan kita menyiasat dari semua aspek.
"Setakat ini ada yang sudah tampil memberikan keterangan. Ada yang masih belum dan ada yang kita tahan," katanya selepas menutup Kejohanan Bola Tampar Piala Ketua Polis Negara di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini semalam.
Sementara itu mengulas mengenai kes bunuh dan culik dua pelancong warga Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah pada Jumaat lepas, Khalid berkata perkara itu tidak perlu diberikan liputan meluas oleh media kerana ia membabitkan nyawa mangsa yang diculik.
"Ini satu kes penculikan, jadi saya nasihatkan eloklah kita tidak membincangkannya secara terbuka kerana jika bincang secara terbuka di media, kita takut nyawa mangsa lebih terancam.
"Jadi biarlah polis menguruskan bersama pihak berkuasa Filipina dalam usaha memastikan keselamatan mangsa," katanya.
#Jabatan Agama Islam Pahang #JAIP #Mohd Raffli Ab Malik #tembak
;