Kes pendakwah terkenal: Jangan buat spekulasi - Idris

Abd Razak Mohd Ali
September 28, 2022 20:37 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegaskan, tindakan itu boleh memberi mesej buruk terhadap nilai agama. - Gambar fail/BERNAMA
TAIPING: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perbicaraan kes gangguan seksual yang melibatkan seorang pendakwah terkenal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menegaskan, tindakan itu boleh memberi mesej buruk terhadap nilai agama.
Menurutnya, ramai lagi para agamawan yang berusaha membawa mesej agama kepada masyarakat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
“Walaupun ianya melibatkan insan yang dikenali, kes ini adalah kes yang sedang dibicarakan di dalam mahkamah dan perlu untuk kita menghormati proses mahkamah dan serahkan ianya pada pihak berautoriti untuk melaksanakan tugasnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, petang ini.
Tanpa menyebut nama penceramah terkenal itu, beliau berkata, semua pihak harus berpegang kepada ajaran Islam di mana seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dijatuhkan hukuman.
“Kita perlu memegang akhlak dan ilmu ajaran agama terutama sekali kepada para pendakwah dan ikon-ikon besar yang diikuti orang ramai,” ujarnya.
Beliau juga menyeru rakyat agar tidak menangguk di air keruh sehingga tanpa sedar memberi mesej buruk terhadap nilai agama dan ramai lagi para agamawan yang berusaha membawa mesej agama kepada masyarakat dengan ikhlas dan bersungguh.
“Kita tetap tidak bersetuju dengan apa-apa perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang.
“Apatah lagi perlakuan yang menceroboh kehormatan diri. Jika berlaku jenayah, ia mesti dilapor kepada pihak berkuasa dan dibawa ke muka pengadilan,” tambahnya.
Beliau berkata, jika sabit kesalahan, hukuman yang tegas perlu diberikan kepada pelakunya, tidak kira siapa pun untuk memberi pengajaran kepada semua pihak.
#pendakwah terkenal #kes gangguan seksual #Idris Ahmad #agama
;