Kes penculikan Semporna: China minta Malaysia lakukan yang terbaik

Astro Awani
April 5, 2014 09:11 MYT
China meminta Malaysia melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan seorang rakyatnya yang diculik sekumpulan lelaki bersenjata dalam kejadian di sebuah pulau di Semporna, Sabah pada Rabu lepas.
Duta besar China ke Malaysia Dr Huang Hui-Kang berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang tuntutan daripada kumpulan berkenaan.
Menurutnya, China mengikuti secara rapat perkembangan kes tersebut dan yakin kejadian berkenaan tidak menjejaskan kedatangan pelancong China ke Malaysia.
Beliau ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Mlaka, Datuk Seri Idris Haron di Ayer Keroh.
Polis sabah mengesahkan identiti mangsa culik di Semporna, dikenali sebagai Gao Hua Yuan, 29, seorang pelajar dari China dan Marcy Dayawan, 40, dari Filipina.
Pelancong wanita warga China itu dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Singgahmata bersebelahan pulau Bum Bum di Semporna.
Pesuruhjaya polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata ketika kejadian pukul 10.30 malam itu, terdapat 61 pelancong iaitu 59 rakyat China, seorang warga Iran dan seorang pelancong Malaysia.
#China #culik #Malaysia #Pulau Singgahmata #Sabah #Semporna
;