Kes pencemaran Sungai Kim Kim: Myokymia punca anak tidak cemerlang subjek PJ - Bapa

Bernama
Oktober 15, 2024 19:21 MYT
Kamarudin (dua, kanan) bersama Wazir (tiga, kanan) ketika di Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa penyakit Myokymia menjadi punca anaknya gagal mendapat keputusan yang cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani (PJ).
Idham Wazir A Wahab, 53, berkata Irfan Wafiy, 17, anak keempat daripada lima beradik, sekadar mendapat B dalam mata pelajaran itu susulan penyakit yang didakwa dihidapinya akibat pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac 2019.
"Tahun ini, Irfan Wafiy akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Dia mendapat CGPA (Purata Nilaian Gred Keseluruhan) 3.96 ketika peperiksaan baru-baru ini.
"Sepatutnya dia boleh dapat CGPA 4.0 tetapi disebabkan menghidap penyakit tersebut, dia hanya dapat B bagi mata pelajaran PJ," katanya ketika menjawab soalan peguam Phang Soon Mun, yang mewakili P Tech Resources Sdn Bhd dan dua pengarah syarikat itu.
Beliau berkata demikian pada hari keempat perbicaraan kes saman menuntut ganti rugi RM30 juta oleh 42 plaintif yang juga mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di hadapan Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim.
Menjawab soalan peguam Walter Pereira, yang mewakili plaintif, Idham Wazir berkata anaknya mendapat B bagi mata pelajaran itu mungkin disebabkan oleh budi bicara guru di sekolah berkenaan kerana jika keputusannya ialah E maka Irfan Wafiy akan gagal.
Kepada soalan peguam Mohd Faizal Ahmad, yang mewakili Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) (kini Majlis Bandaraya Pasir Gudang) berhubung dokumen perubatan yang menyatakan anaknya menderita penyakit Myokymia akibat pencemaran itu, Idham Wazir tidak dapat mengemukakan dokumen tersebut kepada mahkamah dan berkata beliau merujuk laporan perubatan seorang pakar dalam bidang neurologi yang menjadi rujukan hospital di sini berhubung kes melibatkan anaknya ketika pemeriksaan dibuat pada 2021.
Bapa remaja berkenaan turut mengakui dia tidak mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga termasuk pakar perubatan lain berhubung penyakit Myokymia yang dihidapi anaknya itu sejak 2021 hingga kini.
Irfan Wafiy adalah plaintif pertama dalam kes saman itu dan kesemua plaintif yang terdiri daripada pelajar serta orang awam diwakili peguam Datuk Kamarudin Ahmad, Walter Pereira, S. Kemkumar Saviour Lopez dan Radiyah Abdul Karim.
Mereka memfailkan saman itu pada Julai 2019 yang menamakan 12 defendan termasuk Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Alam Sekitar Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, Syarikat P Tech Resources serta MPPG.
Insiden pencemaran itu, yang berlaku pada Mac 2019, telah menggemparkan seluruh negara kerana menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.
Perbicaraan bersambung pada 16 dan 17 Jan 2025.
-- BERNAMA
#Sungai Kim Kim #kes pencemaran #tuntutan mahkamah #penyakit Myokymia
;