Kes pembunuhan Zayn Rayyan: Lebih 200 keterangan direkod
Bernama
Januari 29, 2024 21:33 MYT
Januari 29, 2024 21:33 MYT
KLANG: Polis sudah merekodkan keterangan lebih 200 orang berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak lelaki autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata pihaknya, tidak akan pernah berhenti menyiasat dan akan terus mencari petunjuk baharu berdasarkan semua maklumat.
"Lebih 200 orang kita panggil. Sejak awal-awal kita sudah siasat kedua-dua blok sebab itu, memang ramai.
"Buat masa ini tiada perkembangan baharu, kita masih menilai bahan bukti yang dikumpul. Seperti saya katakan tempoh hari, kita tidak pernah berhenti menyiasat," katanya pada sidang akhbar selepas program dialog awam bersamanya di sini, hari ini.
Mohd Suhaily berkata anggotanya masih berada di lapangan, bagi berjumpa dengan masyarakat setempat sekiranya ada maklumat yang tertinggal walaupun kecil.
Pada 5 Dis tahun lepas, kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang di Damansara Damai dekat sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya, dan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh.
Sementara itu, dalam program dialog awam itu, Mohd Shuhaily turut mengingatkan pegawai penyiasat supaya tidak membuang masa pengadu atau saksi ketika hadir memberi keterangan.
"Harapan saya semua pegawai (penyiasat) perlu beri penekanan kepada masa, supaya tidak membuang masa mereka (pengadu atau saksi) menunggu. Jangan layan saksi seperti mereka tidak mempunyai perkara untuk dilakukan.
"Mereka datang (untuk beri keterangan) sebab patuh pada proses, janganlah buat mereka begitu. Mereka yang datang itu bukan hendak kena curi dan kena ragut," katanya ketika menjawab soalan peserta dialog awam itu mengenai sikap pegawai yang membuang masa saksi atau pengadu yang hadir untuk memberi keterangan.
Mohd Suhaily berkata perkara itu membuatkan terutama mereka yang makan gaji hari akan hilang pendapatan.
-- BERNAMA
#kes pembunuhan
#kanak-kanak lelaki autistik
#Zayn Rayyan Abdul Matiin
#Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman