Kes pembunuhan Kevin Morais: Dua lelaki ditahan, bahan bukti kes dipercayai dicampak ke sungai

Astro Awani
September 18, 2015 19:20 MYT
Mayat mendiang kemudiannya ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah dekat sini pada Rabu lepas. - Gambar Fail
Polis menahan dua lelaki berusia 40-an kerana disyaki terlibat dengan kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, dua saspek yang bekerja sebagai kontraktor di Tanjung Malim dan juruteknik bio-perubatan itu ditahan di sebuah kedai cuci kereta bersebelahan Medan Selera Jinjang Court, di sini pada jam 3.10 petang semalam.
"Permohonan reman telah dilakukan dan majistret membenarkan kedua-dua saspek di reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 24 September.
"Selain itu pemeriksaan forensik telah dilakukan di sebuah sebuah cafe yang terletak di belakang pusat servis kereta BF Malaysia Auto Spray & Service Sdn Bhd di Subang Jaya Selangor dan polis telah melakukan pemeriksaan serta merampas beberapa barang yang berkaitan dengan kes pembunuhan ini," tambah Zainuddin dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Zainuddin, pasukan siasatan turut melakukan pencarian barang kes di sebatang sungai di Kuala Selangor bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), hari ini.
Setakat jam 6 petang Jumaat, polis masih gagal menemui sebarang barang kes di sungai tersebut.
"Yang dibuang di dalam sungai itu adalah barangan kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat ini," kata Zainuddin.
Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 Sept selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.
Mayat mendiang kemudiannya ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah dekat sini pada Rabu lepas.
#Anthony Kevin Morais #Jabatan Pertahanan Awam Malaysia #Menara Duta #Proton Perdana #Zainuddin Ahmad
;