Kes pemalsuan tuntutan Perkeso: Seorang lagi doktor dikesan

Bernama
September 4, 2024 17:08 MYT
Seramai 33 individu termasuk tiga doktor direman satu hingga tiga hari bermula hari ini mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan kes tersebut. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lagi doktor bagi membantu siasatan dakwaan pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Pulau Pinang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata doktor yang telah dikenal pasti itu bekerja di sebuah hospital di Pulau Pinang.
"Tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di sini hari ini sambil memaklumkan pihaknya telah mengesan 19 kes membabitkan kegiatan berkenaan.
Terdahulu di Pulau Pinang, tiga doktor antara 33 individu direman satu hingga tiga hari bermula hari ini mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas menerima permohonan daripada SPRM.
Difahamkan kesemua mereka ditahan dalam operasi semalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang dan keseluruhan tuntutan palsu yang dibuat sejak 2017 hingga kini berjumlah kira-kira RM2.1 juta.
Dalam perkembangan lain, Azam memaklumkan pihaknya sedang mengesan seorang pegawai Jabatan Imigresen bagi membantu siasatan kes 'Op Setting' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata berdasarkan siasatan individu berkenaan mempunyai pengaruh dalam kalangan anggota Jabatan Imigresen yang terlibat dalam sindiket berkenaan walaupun tidak mempunyai jawatan tinggi.
"Dia telah melarikan diri sebaik operasi bermula dan kami percaya dia masih berada di dalam negara," katanya.
Pada 29 Ogos lepas, Azam memaklumkan pihaknya menahan 13 individu termasuk dua penguat kuasa di KLIA kerana disyaki terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing.
Hasil siasatan mendapati mereka memudahkan kemasukan warga asing terbabit ke negara ini tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen melalui kaunter tertentu.
Sehari sebelumnya, seorang warga Myanmar yang juga ejen sindiket didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 kerana memberi rasuah RM5,650 kepada penguat kuasa imigresen sebagai upah melepaskan kemasukan sembilan individu dari negara itu di pintu masuk KLIA2 tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.
-- BERNAMA
#perkeso #tuntutan palsu #SPRM #doktor ditahan