Kes pegawai SPRM: Bukan luar biasa agensi penguatkuasaan siasat pegawai sendiri

Hasimi Muhamad
September 23, 2021 21:56 MYT
Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penetapan kesalahan yang disiasat oleh SPRM berhubung kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa SPRM - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bukan menjadi suatu perkara yang luar biasa bagi sesebuah agensi penguatkuasaan menjalankan siasatan terhadap pegawainya sendiri, asalkan ia termaktub di bawah bidang kuasa agensi masing-masing.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tiga pegawainya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.
Tambahan pula, Wan Junaidi berkata penetapan kesalahan yang disiasat oleh SPRM berhubung kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa SPRM, sebagaimana agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.
"SPRM telah menjalankan siasatan kes ini di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) bagi kesalahan di bawah seksyen 23 (berhubung salahguna kuasa oleh pegawai badan awam) dan seksyen 36 (berhubung pemilikan harta yang berlebih-lebihan) serta tindakan pelucuthakkan harta.
"Pemulaan siasatan oleh SPRM adalah berdasarkan first information report (FIR) yang diterima oleh SPRM, di mana SPRM mempunyai kebertanggungjawaban undang-undang yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29(1) Akta 694 untuk membuat aduan berhubung pelakuan sesuatu kesalahan di bawah Akta 694 agar penyiasatan dapat dijalankan dengan menggunakan segala kuasa penyiasatan di bawah Akta 694 dan Kanun Tatacara Jenayah sebagaimana diperuntukkan lanjut di bawah Seksyen 29(3) Akta 694.
"Selain itu, Seksyen 67 Akta 694 memperuntukkan bahawa peruntukan di bawah Akta 694 adalah terpakai ke atas SPRM bagi suatu ‘kesalahan ditetapkan (prescribed offence)’ yang antaranya merangkumi beberapa kesalahan di bawah Kanun Keseksaan," pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.
BACA: Bukit Aman panggil Hasanah, 3 pegawai kanan SPRM bantu siasatan kehilangan AS$6 juta
BACA: Kes pegawai SPRM: PDRM perlu ambil alih siasatan, rehatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM - Fahmi Fadzil
Jelas beliau lagi, kes tersebut turut disiasat oleh SPRM bagi kesalahan di bawah seksyen 403 (berhubung salahguna harta secara tidak jujur) dan seksyen 409 (berhubung pecah amanah jenayah) Kanun Keseksaan (Akta 574), di mana kesalahan–kesalahan tersebut merupakan kesalahan ditetapkan (prescribed offence) di bawah Akta 694.
Tidak terhad kepada Akta 694 dan Akta 574, siasatan juga akan turut mempertimbangkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), tambahnya,
"Standard Operating Procedure (SOP) SPRM menetapkan kesegeraan yang munasabah diberi kepada pelaksanaan penyiasatan kes ini.
"Sehubungan itu, SPRM telahpun mengambil tindakan segera memulakan penyiasatan kes ini dan menangkap ketiga-tiga pegawai berkenaan termasuk menahan reman mereka bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.
"Siasatan kes ini masih berjalan dan SPRM akan memastikan siasatan dijalankan secara telus dan profesional serta tiada kompromi untuk melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah," katanya.
Dalam masa yang sama, apabila FIR diterima oleh SPRM, Wan Junaidi berkata adalah menjadi kewajipan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan tanpa kelengahan.
Dalam tempoh siasatan bermula sehingga reman tamat, beliau berkata tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak, sehinggalah ia dibangkitkan di Dewan Rakyat.
"SPRM adalah sebuah agensi penguat kuasa undang-undang yang turut tertakluk kepada prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dalam pelaksanaan fungsi-fungsi yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.
"Oleh itu, semua pihak harus mempunyai keyakinan berterusan ke atas kewibawaan SPRM dalam mengendalikan kes ini. Mekanisme semak dan imbang di dalam struktur SPRM melalui tiga Jawatankuasa Pemantau Bebas iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan (JKA) dan Panel Penilaian Operasi (PPO) yang diwujudkan samada melalui peruntukan undang-undang di bawah Akta 694 mahupun secara pentadbiran akan turut memastikan pelaksanaan penyiasatan kes ini oleh SPRM secara telus, bebas dan profesional," katanya,
Sehubungan itu, Wan Junaidi berharap semua pihak perlu bersabar dan perlu yakin kepada SPRM dalam siasatan kes tersebut supaya kertas siasatan yang lengkap dapat dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk kajian serta keputusan, sekali gus mereka yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan dalam masa terdekat.
#kes pegawai SPRM #6 juta #penyelewengan #Wan Junaidi Tuanku Jaafar
;