Kes pegawai imigresen koyak pasport masih dalam siasatan
Bernama
Oktober 9, 2018 04:56 MYT
Oktober 9, 2018 04:56 MYT
Jabatan Imigresen Malaysia Johor mengesahkan siasatan terhadap pegawainya yang didakwa menghalang seorang rakyat Singapura dari memasuki negara ini dengan merosakkan pasport milik individu tersebut dengan sengaja, masih dijalankan.
Pengarahnya Datuk Rohaizi Bahari berkata kes berkenaan masih di peringkat siasatan dan pihaknya memandang serius terhadap perlakuan tersebut.
"Kes masih lagi dalam siasatan dengan melihat bukti-bukti dengan terperinci termasuk rakaman litar tertutup," kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini pada Selasa.
Pada 25 Sept lepas, Jabatan Imigresen Johor mengesahkan menerima laporan dan telah membuka kertas siasatan terhadap pegawai yang didakwa pada hari yang sama.
Aduan yang diterima adalah mengenai salah laku seorang pegawai imigresen yang dikatakan telah merosakkan pasport milik seorang warganegara asing.
Baru-baru ini tular di laman sosial oleh seorang pengguna laman sosial Facebook yang mendakwa dirinya seorang warga Singapura, telah ditahan seorang pegawai Imigresen di kaunter masuk Linkedua, Bangunan Sultan Abu Bakar, Tuas yang mempersoalkan mengenai pasportnya yang koyak.
"Pegawai itu kemudian menyuruh saya kembali ke Singapura kerana pasport saya koyak, melainkan sekiranya saya rakyat Malaysia, dia akan melepaskan saya masuk," katanya menerusi akaun FB miliknya.
Lelaki itu juga mendakwa pasportnya tidak bermasalah, malah tiada sebarang kesan koyak didapati ketika melepasi kaunter keluar negara di Singapura.
-- BERNAMA