Kes pedofil: Mara, tolong jangan bazir duit rakyat - Pemuda UMNO
Astro Awani
Mei 6, 2015 17:44 MYT
Mei 6, 2015 17:44 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO meminta Majlis Amanah Rakyat (Mara) bertindak rasional dan tidak menghabiskan duit rakyat dengan memberi peluang kedua kepada pesalah pedofil di bawah tajaannya.
Pelajar tajaan Mara, Nur Fitri Azmeer Nordin kini menjalani hukuman penjara bersabit kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London.
Exco Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata Mara seolah-olah memperlihatkan mereka membela seorang yang terlibat dengan kes pedofilia yang dilihat seharusnya tidak dilindungi sama sekali.
"Harapnya Mara tidak membazir duit rakyat untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang mencemar nama baik sebuah institusi yang gah seperti Mara.
"Saya berpendapat ramai lagi pelajar yang layak mendapat biasiswa Mara. Berilah pada yang berkelayakan dan kurang berkemampuan bukan membazir duit rakyat beri kepada pelajar yang mempunyai rekod jenayah.
"Janganlah hanya kerana seorang genius, Nur Fitri mahu diberi peluang kedua.
"Saya ajak seluruh rakyat Malaysia bersatu dalam hal ini, kerana ini adalah jenayah. Saya tidak setuju dalam soal ini. Kita harus tentang perbuatan melampau dan terkutuk yang dilakukan Nur Fitri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ibdilllah mengulas keputusan Mara yang memberi peluang kepada Nur Fitri meneruskan pengajian di mana-mana institusi Mara dalam negara sejurus selesai menjalani hukuman dan kembali ke tanah air.
Dalam pada itu kata Ibdillah, pedofilia merupakan kes berat dan masyarakat tidak harus mengambil ringan hal Nur Fitri menyimpan koleksi besar video lucah kanak-kanak.
"Perkara ini tidak sihat buat negara dan masyarakat umum.
Nur Fitri perlu dibawa pulang ke Malaysia untuk menjalani hukumannya di sini agar rakyat sentiasa sedar bahawa kes seperti ini adalah kes yang berat.
"Hukumannya perlu diteruskan agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Soal penganiayaan terhadap kanak-kanak ini tidak boleh kompromi, jika itu perbuatan jenayah, maka Mara atau mana-mana agensi kerajaan tidak patut diberi peluang kedua atas alasan apa sekalipun.
"Nur Fitri patut dihukum seberat-beratnya, kerana apa yang dilakukan itu adalah satu jenayah.
Ini bukan soal pelajar itu 'genius' atau sebagainya. Ini soal jenayah dan salah laku," tegasnya.
Ibdillah turut memberi contoh pelajar-pelajar institut pengajian tinggi di negara ini yang tidak diberi peluang kedua kerana menyertai demonstrasi jalanan bakal di buang universiti dan sebagainya.
"Dalam isu berkenaan dimanakah peluang kedua untuk mereka? Tiada siapa yang menawarkan peluang kepada mereka.
"Saya tidak membela mereka yang sertai demonstrasi jalanan, tetapi ini soal logik akal.
"Kerana itu saya fikir Mara tidak bertindak rasional. Mana mungkin seorang pedofilia diberi peluang kedua hanya kerana pelajar tersebut adalah pelajar pintar Matematik," katanya.