Kes pecah patung kuil: Lelaki didakwa miliki senjata berbahaya

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 25, 2023 12:30 MYT
Mohamad Firdaus mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
TAIPING: Seorang lelaki yang dipercayai memecahkan patung di sebuah kuil di Matang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Firdaus Taufek, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa tanpa kebenaran sah memiliki senjata berbahaya iaitu satu tukul besi berhulu kayu dan satu tukul besi berhulu besi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kuil Sri Mangala Nayagi Amman, Matang, antara jam 7 hingga 7.30 pagi, 18 Oktober lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ng Yan Ni menawarkan jaminan RM20,000 manakala tertuduh yang bekerja kampung di ladang kelapa sawit tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin warganegara tempatan.
Mahkamah turut mengarahkannya melapor diri di balai polis setiap bulan selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Pada 18 Oktober lalu, media melaporkan polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menceroboh dan mengamuk dengan memecahkan patung milik sebuah kuil di Matang.
Dalam kejadian sekitar jam 9.01 pagi itu, suspek dipercayai memecahkan sebuah patung menggunakan tukul.
Hasil siasatan, polis telah menahan suspek serta merampas dua tukul besi yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut, selain ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ganja (THC).
#pecah patung kuil #keputusan mahkamah #miliki senjata #Taiping
;