Kes pastor Raymond hilang: Polis Selangor akan ambil keterangan Peter Chong

Bernama
April 19, 2017 13:47 MYT
FADZIL: Polis mengklasifikasikan kes Pastor Koh sebagai kes dilarikan berikutan tidak melibatkan tuntutan wang tebusan.
Polis Selangor akan memanggil aktivis Peter Chong dalam waktu terdekat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes Pastor Raymond Koh Keng Joo yang dilaporkan hilang sejak Februari lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata tindakan itu dibuat berikutan terdapat laporan sebelum ini yang mendakwa bahawa Chong mempunyai maklumat berhubung kehilangan Pastor Koh, 62.
"Polis Selangor panggil Peter Chong untuk kes itu sebab sebelum ini difahamkan ada kenyataan dan khabar angin mengatakan dia ada maklumat berhubung kehilangan pastor, jadi kami perlu siasat dan kita akan panggil dia untuk membantu siasatan sebab kita masih terus menyiasat kes kehilangan Pastor Koh.
"Walaupun pasukan petugas masih menjalankan (siasatan) , jadi apa sahaja sumber yang ada kita akan pergi (siasat)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Kepujian kepada 18 anggota polis yang menolak rasuah ketika menjalankan tugasan, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Surat kepujian itu disampaikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah dan disaksikan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes Pastor Koh sebagai kes dilarikan berikutan tidak melibatkan tuntutan wang tebusan.
Lima individu lain yang turut dilaporkan hilang adalah Chong, aktivis Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis (Perlis Hope), Amri Che Mat serta Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth.
Bagaimanapun Chong yang didakwa hilang sejak 6 April selamat tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lepas.
Chong yang juga pembantu Anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa tiba dari Pattaya, Thailand kira-kira pukul 12 tengah hari dengan menaiki pesawat Malindo Air.
Sementara itu, Mohd Fuad dalam ucapannya mengingatkan pegawai dan anggota polis supaya tidak terlibat dalam kegiatan rasuah bagi menangkis persepsi masyarakat bahawa PDRM adalah agensi yang boleh bertolak ansur dalam isu rasuah.
"Kita meletakkan aspek integriti sebagai nilai tambah yang utama dalam pengurusan organisasi...dengan adanya integriti pada setiap warga PDRM, secara tidak langsung persepsi positif dan keyakinan masyarakat serta pasukan dapat dipertingkatkan.
"Setiap warga PDRM turut diseru untuk mengambil langkah drastik dengan melaksanakan 'zero tolerance' serta mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang mahu atau cuba menawarkan rasuah kepada polis," katanya.
-- BERNAMA
#hilang #Pastor Raymond #PDRM #Peter Chong
;