Kes Pasir Gudang: Alat pengesan gas dipasang di sekolah mulai esok
Astro Awani
Julai 3, 2019 21:10 MYT
Julai 3, 2019 21:10 MYT
Semua sekolah yang terjejas dengan insiden sesak nafas di Pasir Gudang baru-baru ini akan dipasangkan alat pengesan gas bermula esok.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, aktiviti ini akan melibatkan sebanyak 111 sekolah di sekitar Pasir Gudang.
"Alat pengesan ini untuk mendapatkan bacaan gas. Jika ada gas-gas tercemar dari bawah tanah atau dari Sungai Kim Kim, alat itu akan mengesannya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan membantu pihak sekolah untuk mendapatkan bacaan daripada meter tersebut.
Ujarnya, ini sebagai langkah persediaan pihak sekolah menghadapi sebarang kemungkinan tidak diingini.
Selain itu, Bee Yin turut menafikan dakwaan bahawa syarikat suaminya memiliki tiga kilang kimia di Pasir Gudang.
Katanya, tuduhan oleh pihak yang ‘tidak bermaruah’ itu turut memberi kesan kepada kredibiliti semua pegawai yang terlibat sepanjang usaha dalam dalam mencari penyelesaian kes di Pasir Gudang itu.
"Ini satu pembohongan yang sangat serius dan tidak konstruktif kepada cabaran yang kita hadapi hari ini.
"Kita ada beratus pegawai dari JAS, MPPG (Majlis Perbandaran Pasir Gudang) bekerja siang malam untuk mencari punca kes di Pasir Gudang, membuat pemeriksaan di setiap kilang.
"Orang yang membuat tuduhan ini tidak bermaruah dan tiada tempat untuk mereka dalam politik di Malaysia."
Semalam, viral di laman sosial Facebook satu imej montaj yang menunjukkan gambar Bee Yin bersama suaminya, Lee Yeow Seng iaitu Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group, yang didakwa memiliki tiga kilang kimia di Pasir Gudang – IOI Pan-Century Oleochemicals Sdn Bhd, IOI Pan-Century Edible Oils Sdn Bhd dan IOI Lipid Enzymtec Sdn Bhd.
Turut tertulis di imej tersebut ialah perkataan "Kenapa kerajaan lambat bertindak."
Dalam menafikan dakwaan itu, Bee Yin berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab membuat tuduhan itu.