Kes Nuraina Humaira: Remaja 17 tahun disambung reman

Sinar Harian
Ogos 26, 2024 08:30 MYT
Reman terhadap suspek disambung sehingga 30 Ogos ini. - Gambar hiasan
SUNGAI SIPUT: Perintah reman ke atas seorang remaja lelaki yang disyaki terlibat kes bunuh kanak-kanak perempuan, Nuraina Humaira Rosli, 10, telah dilanjutkan selama lima hari.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, tempoh reman terhadap suspek berusia 17 tahun itu diperoleh sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Reman terhadap suspek sambung sehingga 30 Ogos ini dan kita akan maklumkan semula tarikh pertuduhan nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Media melaporkan, suspek ditahan pada 19 Ogos lalu selepas laporan bedah siasat dijalankan ke atas mangsa menunjukkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher.
Dengan penemuan itu, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dirogol sebelum dibunuh.
Dalam kejadian itu, mayat murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 16 Ogos lalu.
Mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini. - Sinar Harian
#reman #Nuraina Humaira Rosli #mohd khaizam ahmad shahabudin #kes bunuh
;