Kes Nicky: Kalau saya tangkap, saya pastikan dia didakwa dan disabit bersalah - Ayob Khan
Israr Khalid
April 5, 2021 07:54 MYT
April 5, 2021 07:54 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan bahawa ahli perniagaan yang sedang diburu, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, akan ditangkap tidak lama lagi.
Ketika ini, pihaknya sedang memperkemas siasatan supaya cukup segala bukti yang kukuh untuk mendakwanya di mahkamah, dan sedikit masa diperlukan untuk itu.
“Stail saya, apabila saya tangkap, saya akan pastikan dia dituduh. Apabila dituduh, saya mahu dia disabit.
"Saya tak nak tangkap lepas itu senyap, bebas, macam Addy Kana. Tangkap-tangkap, tapi di mana penghujungnya?
"Ada yang dituduh tak? Saya tak pasti. Tapi saya tak nak begitu,” jelasnya.
Menceritakan tentang Datuk Nicky, kata Ayob, lelaki berusia 33 tahun itu sudah menjalankan kegiatannya sejak 2014 dalam skala yang mustahil untuk tidak dikesan oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, disebabkan hubungan dan pengaruhnya dengan beberapa orang anggota dan pegawai pihak berkuasa serta orang kenamaan, ia terus beroperasi tanpa sebarang gangguan, sehinggalah baru-baru ini.
“Selepas dua tiga laporan diterima daripada mangsa sindiket, kita buka dua kertas siasatan dan saya minta pegawai saya siasat dengan teliti, lapisan demi lapisan.
Akhirnya didapati salah satu transaksi sindiket itu masuk ke akaun Datuk Nicky.
“Daripada situ kita dapat kembangkan, dan pada masa saya saya dapat maklumat daripada pihak lain yang mengatakan sebelum ini dia ada bagi maklumat kepada banyak pihak, tapi tak jalan, tiada tindakan.
“Jadi saya bincang dengan pihak agensi, kita nak tangkap (suspek) bawah kesalahan jenayah terancang.
"Ini adalah kali pertama dalam sejarah kesalahan komersial yang kita tangkap bawah SOSMA,” jelas Ayob.
Sekurang-kurangnya 34 pegawai dan anggota daripada agensi penguatkuasaan terlibat dan melindungi Geng Nicky telah ditahan, sementara kepala sindiket itu masih dalam buruan polis.
Terbaharu, polis telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan lelaki tersebut, dan gambarnya telah diedarkan ke seluruh pos kawalan persempadanan dalam usaha mengelakkan penjenayah tersebut meloloskan diri ke luar negara.
Tidak dapat dinafikan, Ayob mengakui dia ada terlihat komen-komen di media sosial yang mempertikaikan tindakan dan gerak kerja polis yang masih tidak dapat menangkap suspek utama sindiket tersebut.
Namun Ayob tahu apa yang dilakukannya, dan dia memerlukan sedikit masa supaya tangkapannya berbaloi dan pesalah akan pasti mendapat hukumannya.
Tonton temu bual penuh eksklusif beliau dalam Agenda AWANI bersama hos Nazri Kahar, di sini:
Agenda AWANI: Eksklusif bersama Datuk Ayob Khan