Kes murid SK Tohoi: Ujian DNA sahkan milik Juvina dan Ika - KP Kelantan

Muhafandi Muhamad
Oktober 16, 2015 12:21 MYT
Spesimen kedua daripada rangka Tohoi 4 ialah Juvina David kerana menunjukkan pertalian sehingga 99 peratus dengan spesimen daripada Shila dan David Kuasam. - Gambar Fail
Hasil ujian asid deoksirinobukleik (DNA) yang dijalankan Jabatan Kimia ke atas empat spesimen daripada dua mayat dengan salah satunya rangka, mengesahkan bahawa ia milik Juvina David, 7, dan Ika Ayel, 9.
Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim, pengesahan itu dibuat setelah Jabatan Kimia menghantar laporannya hari ini.
Bagaimanapun, dua lagi spesimen masih lagi belum diketahui keputusannya.
“Spesimen ‘Tohoi 3’ ialah Ika Ayel dan spesimen kedua daripada rangka ‘Tohoi 4’ ialah Juvina David kerana menunjukkan pertalian sehingga 99 peratus dengan spesimen daripada Shila dan David Kuasam.
“Dua lagi spesimen yang dihantar bersama belum siap lagi. Hasilnya berkemungkinan boleh didapatkan minggu depan,” ujar Mazlan.
Bercakap di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan petang tadi, spesimen dua lagi mayat termasuk satu rangka dijangka dapat diketahui minggu depan.
Menurut beliau, keluarga akan dimaklumkan berhubung keputusan ujian dan setelah itu proses untuk menyerahkan jasad dan rangka berkenaan boleh dilakukan.
Katanya, keluarga boleh menuntut jasad berkenaan di Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk dikebumikan.
Mazlan juga memaklumkan bahawa pihak polis akan memulakan proses merakam percakapan dan mendapatkan keterangan daripada Norieen Yaakob dan Miksudiari Aluj pada Ahad ini.
MESTI BACA: Kisah sebenar tragedi kehilangan murid Orang Asli SK Tohoi
Rakaman tersebut akan dilakukan secara berseorangan tanpa ditemani ibunya dengan dibantu oleh jurubahasa.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada kebenaran pihak doktor berdasarkan tahap kesihatan dan kesediaan kedua-dua mangsa berkenaan.
FOTO: Misteri kehilangan murid Orang Asli SK Tohoi
Sementara itu, operasi mencari seorang lagi anak Orang Asli yang masih hilang diteruskan pada Jumaat dengan tumpuan pencarian dilakukan di kawasan Sungai Perias dan Nenggiri serta sekitarnya.
#Ika Ayel #Juvina #Mazlan Lazim #murid #Orang Asli #SK Tohoi