Kes Muhyiddin: "Saya tidak campur tangan" - PM Anwar
Umavathi Ramayah
Mac 9, 2023 12:28 MYT
Mac 9, 2023 12:28 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan yang kononnya siasatan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bermotifkan politik.
Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan, siasatan itu adalah berdasarkan dokumen Kementerian Kewangan dan bukannya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Jabatan Peguam Negara.
"Saya tidak campur... tapi saya beritahu, semua agensi termasuk SPRM dan Jabatan Peguam, orang yang setuju atau tidak setuju tengok kes, apa pendakwaan dan pertuduhannya.
"Belum tahu apa keputusannya dan setakat ini hanya dipanggil, tetapi untuk mengatakan semua kes yang kita ambil bermotifkan politik, maknanya (penguat kuasa) tak boleh tangkap, mana-mana kes rasuah yang besar semuanya lepas.
"Tapi saya ingin tegaskan di sini, semua orang yang mahu negara ini bersih daripada rasuah, harus lihat kes satu persatu sama ada benar pendakwaan politik yang disebut atau berdasarkan fakta.
"Yang saya sebut selama ini projek tebatan banjir dan Jana Wibawa (Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa) adalah berdasarkan dokumen Kementerian Kewangan dan bukannya SPRM atau Jabatan Peguam Negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Festival Taman Kuala Lumpur di Taman Tasik Titiwangsa pada Khamis, di sini, pada Khamis.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, Muhyiddin setakat ini hanya dipanggil untuk membantu siasatan dan keputusannya masih belum diketahui lagi.
Beberapa pihak sebelum ini mendakwa penahanan bekas Perdana Menteri dan beberapa pemimpin PN itu sebagai bermotifkan politik.
Pada 21 Februari lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.
Siasatan terhadap Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh juga dipercayai berkaitan kes salah guna dana Jana Wibawa.
Program Jana Wibawa dilaksanakan semasa pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.
Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.