Kes Muhammad Adib: JBPM hargai usaha kerajaan tubuh jawatankuasa khas
Hilmi Malik
Oktober 9, 2021 19:25 MYT
Oktober 9, 2021 19:25 MYT
KUALA LUMPUR : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghargai usaha kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat punca kematian anggotanya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, usaha itu selari dengan hasrat JBPM agar kes berkenaan dapat diadili dengan sewajarnya.
“JBPM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan dan komitmen YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung langkah penubuhan Jawatankuasa Khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian pegawai bomba, Allahyarham PBK Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Penubuhan jawatankuasa khas ini juga adalah tanda keprihatian Kerajaan kepada kebajikan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya sebelum ini telah mengemukakan beberapa cadangan bagi merungkai segala perkara berbangkit mengenai insiden yang menimpa Muhammad Adib.
Penubuhan jawatankuasa khas berkenaan akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.