Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung ujian 'locus standi' yang mensyaratkan seseorang hanya perlu menunjukkan kepentingan yang tulus dan tidak semestinya terjejas secara langsung dengan sesuatu isu sebelum boleh mengambil tindakan undang-undang bakal menyaksikan peningkatan kes-kes berkepentingan awam difailkan di mahkamah.

Locus standi bermaksud hak di sisi undang-undang untuk membawa kes ke mahkamah.

Peguam Syahredzan Johan berkata peningkatan kes-kes berkepentingan awam itu akan melibatkan terutamanya semakan kehakiman.

"Ini merupakan satu perkembangan positif kerana keputusan ini menunjukkan bahawa kita adalah masyarakat yang sedang matang dan mahu kerajaan bertanggungjawab,” kata Syahredzan kepada Astro AWANI.

Menurut Syahredzan, masyarakat sivil memang bersedia untuk membawa perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam ke mahkamah tetapi hasrat itu selalu terbantut kerana kos perbicaraan yang tinggi.

"Asalkan seseorang yang mahu mengambil tindakan di mahkamah boleh membayar kosnya, dia boleh membawa perkara itu ke mahkamah.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna ramai orang akan berbuat demikian dan boleh menuntut semakan kehakiman. Ini kerana keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak terpakai untuk alasan yang remeh temeh.

"Seseorang itu masih mesti melepasi ujian pertama iaitu membuktikan bahawa dia ada kepentingan yang tulus. Ia hanya akan lebih memudahkan orang ramai untuk memenuhi syarat locus standi," katanya.

Peguam Yusmadi Yusoff turut bersetuju dengan Syahredzan apabila berkata kepentingan awam telah digunakan sebagai kayu pengukur dalam keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

"Keputusan itu menunjukkan bahawa kepentingan awam telah berganjak setapak lagi ke hadapan. Ini satu keputusan yang dialu-alukan," katanya.

Bagaimanapun Yusmadi berpendapat keputusan itu tidak bermakna alasan kepentingan awam boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya sebaliknya harus digunakan dengan konstruktif.

"Ini bermakna walaupun seseorang yang menunjukkan minat yang tulus dalam sesuatu isu boleh mengambil tindakan undang-undang, masih ada lagi prosedur lain yang perlu dipatuhi.

"Keputusan itu menguntungkan pihak yang membawa kes berkepentingan awam dan ia perlu mendapat perhatian daripada NGO dan aktivis awam," katanya.

Mahkamah Persekutuan pada Rabu menyemak semula syarat locus standi yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Agung dalam kes Lim Kit Siang lawan UEM Berhad lebih 25 tahun lalu.

Mahkamah Persekutuan membuat semakan itu dalam saman oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 pihak yang lain terhadap Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan akses kepada perjanjian konsesi melibatkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) serta satu laporan audit.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu dibuat oleh lima hakim terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Hashim bin Dato' Hj. Yusoff, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Dato` Hasan bin Lah.