Kes menurun, PKPD di tiga lokaliti ditamatkan esok - Ismail Sabri

Irwan Muhammad Zain
Februari 9, 2021 11:45 MYT
Ismail Sabri berkata ketiga-tiga PKPD itu ditamatkan selepas penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tiada kes baharu yang dikesan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kawasan akan ditamatkan bermula Rabu seperti dijadualkan, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.
Beliau menjelaskan, ketiga-tiga kawasan itu adalah PKPD di Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan dan Pusat Transit Tahanan (PTP) Penjara Marang di Terengganu, serta Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang di Perak.
Ismail Sabri berkata ketiga-tiga PKPD itu ditamatkan selepas penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tiada kes baharu yang dikesan.
"Bagi PKPD Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 128 ujian saringan dan 51 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
"Bagaimanapun, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan penurunan serta tiada lagi sampel menunggu keputusan.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan, bermula esok seperti yang dijadualkan," katanya pada sidang media pelaksanaan PKP pada Selasa
KKM turut mengesahkan baki kes positif di Pusat Transit Tahanan (PTP) Penjara Marang di Terengganu dan Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang di Perak turut menunjukkan penurunan.
[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/PKPB/PKPD) - 09 Feb 2021
#PKPD #ismail sabri yaakob #tamat #KKM #penurunan #kes positif #Pusat Koreksional Dungun #Pusat Transit Tahanan PTP Penjara Marang #Kampung Orang Asli Batu 6 #PKP #COVID-19