Kes meningkat, warga Perak bimbang penularan HFMD

Abd Razak Mohd Ali
Mei 8, 2022 18:52 MYT
Ibu bapa perlu memainkan peranan untuk sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti, serta amalan kebersihan anak-anak mereka. - Gambar hiasan
IPOH: Perak mencatatkan sebanyak 1,636 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) sehingga minggu epid ke-17 tahun ini, yang berakhir pada 30 April lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.6 kali ganda berbanding minggu epid yang sama tahun lalu, iaitu hanya 140 kes.
Peningkatan penularan itu menimbulkan kebimbangan dan kerisauan dalam kalangan warga Perak, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak berumur kurang enam tahun.
Sehubungan itu mereka meminta pihak berkuasa, khususnya Jabatan Kesihatan Negeri, mengambil langkah sewajarnya untuk membendung penularan itu di samping iltizam mereka untuk mengambil langkah pencegahan sendiri.
Bagi penjawat awam, Mohd Zulfadli Abdul Khir, kes yang semakin meningkat membuatkan ibu bapa risau tentang risiko dan bahayanya.
"Memang risau sebab anak-anak ni tak tahu dari segi (maklumat) ini semua, kita yang kena pantau. Macam anak yang bergejala ni kita tak perlulah hantar ke sekolah buat masa sekarang. Pastikan mereka ini jaga kebersihan.
"Kita kena ajar mereka sebab kadang-kadang (anak-anak) tak tahu benda-benda macam ini. Mereka hanya tahu bermin. Maka, kita sebagai ibu bapa kena ambil berat," ujarnya.
Kerisauan itu turut dirasakan peniaga, Nurul Farrah Ain Anuwar, yang menyedari statistik kes berkenaan meningkat di Perak.
"Kita perlulah jaga kebersihan anak kita seperti (amalan) cuci tangan, mandi dan basuh kaki. Untuk mengelakkan mereka berjangkit, kita perlulah mengelakkan mereka daripada pergi pasar raya, pasar malam dan pasar terbuka.
"Kalau kita nampak anak kita sakit atau demam, kita perlu pergi klinik supaya kita tahu dia tu sakit ataupun tidak," ujarnya.
Dalam keseronokan berhari raya, surirumah, Adzlin Mohamad Fu’ad mengakui dia dan keluarganya perlu berwaspada tentang risiko penyakit HFMD, lebih-lebih lagi dia memiliki tiga anak yang masih kecil.
"Saya ada tiga orang anak, ketiga-tiga masih kecil, masih tak faham lagi. Budak-budak sekarang sedang seronok nak beraya ke sana sini, mereka tidak tahu macam mana nak jaga diri sendiri.
"Maka, saya sebagai ibu kena pastikan anak-anak sentiasa ada dekat saya, supaya boleh dipantau. Boleh cakap apa dia tak boleh pegang, dan apa yang boleh.
"Saya kena pastikan setiap kali sampai di suatu tempat sewaktu berkunjung berhari raya, kena basuh tangan dulu, lepas tu pakai pelitup muka. Ibu bapa juga kena main peranan, kena pastikan anak tu sentiasa dalam kawalan kita," katanya.
#penyakit #HFMD #Kanak-kanak #kesihatan #Perak
;