Kes meningkat 160%, KKM syor kanak-kanak segera divaksin sebelum 1 April
Azyyati Ahmad
Mac 29, 2022 10:11 MYT
Mac 29, 2022 10:11 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan supaya kanak-kanak yang belum divaksinasi segera mendapatkan vaksin susulan peningkatan 160% kes COVID-19 melibatkan golongan itu yang dimasukkan ke hospital.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, ini adalah bagi memastikan kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun mendapat perlindungan daripada jangkitan teruk COVID-19 dan komplikasinya.
“Mulai 1 April 2022, negara akan beralih ke Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ di mana banyak aktiviti yang tidak dibenarkan akan dibuka dan SOP mula dilonggarkan.
"Ada dalam kalangan ibu bapa menganggap semasa fasa peralihan ini kanak-kanak 5 hingga bawah 12 tahun tidak perlu lagi diberi vaksinasi.
“Pada hakikatnya, terdapat peningkatan 160% bilangan kes COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital pada tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Dr Noor Azmi, ibu bapa yang membawa anak ke pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 pada hari mereka bekerja akan diberikan surat pengesahan kehadiran (time slip) yang membuktikan mereka membawa anak untuk vaksinasi.
“KKM berharap majikan sektor kerajaan dan swasta memberi kerjasama dalam membenarkan ibu bapa membawa anak untuk vaksinasi,” jelasnya.
Ibu bapa diminta mendaftarkan anak sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan pautan janji temu atau membawa anak 5 hingga bawah 12 tahun secara ‘walk-in’ ke PPV terdekat.