Kes mayat wanita dalam selimut, bekas suami ditahan

Hakim Rahman
September 15, 2019 11:21 MYT
Mayat janda anak satu itu ditemukan dalam selimut tebal oleh bapanya yang mengunjungi kediaman wanita terbabit. -Foto Astro AWANI
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita yang dibalut dengan selimut di Petaling Jaya, Rabu lalu.
Suspek yang juga bekas suami kepada mangsa ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin jam 1.35 pagi Ahad selepas dia tiba dipercayai untuk membuat laporan polis sebagai alibi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, pihaknya akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek berusia 40 tahun itu bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian pada Rabu, mayat seorang wanita yang janda anak satu itu ditemui dalam keadaan dibungkus dengan selimut tebal di Pangsapuri Rampai Idaman, Prima Damansara.
BACA: Mayat janda berbungkus selimut ditemui
Mangsa dikenali sebagai Nor Hidayah Ahmad, 30, ditemukan kira-kira jam 5.30 petang oleh bapanya yang mengunjungi rumah pangsa didiami wanita berkenaan.
Mangsa yang bekerja sebagai kerani syarikat pengiklanan dan tinggal di rumah sewa terbabit bersama anak lelakinya berusia enam tahun.
Namun ketika kejadian, kanak-kanak itu berada di pusat asuhan.
Polis juga percaya mangsa meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemukan.
#bekas suami mangsa #dibalut dengan selimut #Fadzil Ahmat #ibu pejabat polis daerah #IPD #mayat wanita #Nor Hidayah Ahmad #selimut tebal
;