Kes mayat wanita dalam gaung, tiga individu direman
Bernama
Mac 23, 2022 18:30 MYT
Mac 23, 2022 18:30 MYT
SEREMBAN: Dua lelaki dan seorang wanita direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita yang dijumpai dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata polis menahan dua lelaki, masing-masing berusia 41 dan 44 tahun, serta seorang wanita berusia 18 tahun itu bermula hari ini hingga 29 Mac ini.
"Dua lelaki tersebut ditahan di sebuah rumah di Taman Nee Yan, Temiang di sini manakala wanita itu pula ditahan di Jalan Persiaran Utama S, Seremban 2.
"Mangsa dipercayai rakyat Malaysia tetapi pengenalan tepat masih dalam siasatan polis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mayat wanita tanpa identiti itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dan laporan bedah siasat mayat itu telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan punca kematian.
-- BERNAMA