Kes Low Yat: Jumlah tangkapan 19 orang setakat ini
Astro Awani
Julai 13, 2015 20:49 MYT
Julai 13, 2015 20:49 MYT
Jumlah angka tangkapan berhubung insiden pergaduhan dan rusuhan di Plaza Low Yat meningkat kepada 19 orang setakat ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu pesanan ringkas WhatsApp pada Astro AWANI malam ini, berkata jumlah itu tidak termasuk blogger yang dikenali sebagai Papa Gomo.
Khalid sebelum ini telah mengarahkan polis untuk memburu blogger yang bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris itu kerana menyebarkan berita palsu berhubung kekecohan di pusat barangan komputer itu pada Sabtu.
"Eloklah dia (Papa Gomo) tampil menyerah diri sebelum polis mencarinya, polis akan menahannya untuk membantu siasatan," katanya.
Sementara itu, kesemua individu yang ditangkap adalah lelaki warga tempatan berusia dari 16 hingga 26 tahun. Difahamkan, perintah tahanan reman telah dikeluarkan hari ini selama empat hari.
Kesemua suspek juga akan menjalani ujian air kencing bagi memastikan penggunaan dadah. Polis juga sedang mendapatkan kerjasama daripada pekerja premis perniagaan Oppo untuk membantu siasatan berhubung kes kecurian telefon.
Sepanjang pergaduhan dan rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat sejak malam Sabtu hingga awal pagi Isnin, seramai tujuh orang dilaporkan cedera; tiga daripadanya adalah pengamal media.
Ketegangan tercetus di luar plaza itu sejurus selepas tengah malam Ahad apabila pergaduhan terjadi antara dua kumpulan, hanya beberapa jam selepas polis mengarahkan kumpulan besar di luar plaza itu bersurai.
Insiden yang berlaku termasuk tumbuk-menumbuk. Topi keledar dan barang lain turut dilempar terhadap satu sama lain.
Bagaimanapun, pihak polis hari ini mengesahkan kawasan sekitar Bukit Bintang selamat untuk dikunjungi dengan anggota polis sentiasa berkawal.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini juga menasihati pengguna media sosial supaya tidak mempercayai bulat-bulat apa yang tersebar di Internet berhubung kes rusuhan di Plaza Low Yat baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik gambar-gambar palsu di media sosial hanya sekadar menghangat kes ini dan memberi perspektif tidak tepat kepada orang ramai.