Kes Liwat II: Prosiding hari ketujuh ditangguh sehingga Jumaat
Hamzah Hamid
November 6, 2014 18:27 MYT
November 6, 2014 18:27 MYT
Prosiding rayuan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bakal tiba ke penghujungnya dengan hujah balas oleh barisan pembelaan.
Selasa lalu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dari pihak pendakwaan selesai membentangkan kesemua hujahnya.
Beliau banyak menyentuh aspek fakta kes, perincian hal DNA dan bahan bukti serta menjawab isu penahanan Anwar.
Sesi prosiding rayuan yang pada mulanya dijadualkan berlangsung selama dua hari itu kini sudah masuk ke hari ketujuh apabila kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan memerlukan tempoh tambahan bagi membuat penghuraian hujah.
Selepas selesai sesi pembentangan hujah pembelaan yang dijangka mengambil masa hingga ke sebelah petang, tanda tanya seterusnya adalah tentang pertimbangan waktu dan tarikh bagi panel lima hakim membuat keputusan.
Berikut adalah perkembangan terkini dari Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya:
7.00 malam: Sidang ditangguh ke jam 3 petang esok. Gopal akan menghabiskan lagi sedikit hujahannya.
6.50 petang: Gopal berkata, adalah tanggungjawabnya untuk mempertahankan kredibiliti Dr Osman yang diserang pihak pendakwa. Ini kerana Dr Osman tidak ada di mahkamah untuk membela dirinya.
6.20 petang: Gopal menekankan hujah dengan memetik beberapa kes lain, bahawa beban pertuduhan itu terletak pada pihak pendakwaan untuk membuktikannya.
Gopal memberitahu bahawa Anwar telahpun mempunyai pembelaan alibi dan juga menafikan dirinya terlibat dalam perlakuan liwat.
6.00 petang: Prosiding disambung semula dan Gopal meneruskan hujah.
5.30 petang: Prosiding direhatkan sebentar dan dijangka akan disambung sehingga lewat petang.
Gopal belum menghabiskan hujahnya yang banyak menyerang kredibiliti Saiful. Shafee dijangka akan membuat hujah balas dan Gopal meminta peluang untuk membuat penghujahan selepas Shafee.
Hadirin di kamar mahkamah mula mencongak sesama sendiri tentang prosiding ini yang bakal berlanjutan ke waktu Maghrib.
4.50 petang: Gopal menggelar Saiful sebagai 'budak yang penuh muslihat' dan 'bukan lelaki biasa'. Gopal malah menggemparkan mahkamah dengan mengatakan bahawa Saiful menggunakan skil memikat agar pihak pendakwa mempercayai ceritanya.
4.45 petang: Gopal memberitahu mahkamah dengan memetik testimoni rakan Saiful di universiti. Dalam testimoni itu. Saiful sebenarnya bukanlah pemuja Anwar, sebaliknya pernah menggelarkan Anwar sebagai 'pemimpin munafik'.
Menurut Gopal, rakan Saiful itu terkejut apabila mendapat tahu dia bekerja dengan Anwar kemudiannya.
4.05 petang: Gobind mengakhiri hujahnya dan disambung oleh Gopal Sri Ram.
3.45 petang: Gobind mendesak mahkamah supaya menolak bahan bukti yang diambil dari lokap seterusnya mengatakan bahawa pihak pendakwa tidak dapat membuktikan DNA Lelaki-Y ialah Anwar, lebih-lebih lagi dengan kewujudan DNA orang ketiga.
3.25 petang: Gobind menangkis hujah yang mengatakan kaitan itu perlu diterima kerana Anwar satu-satunya yang menghuni lokap tersebut, namun dia menimbulkan keraguan dengan menyebut tentang pihak yang mempunyai akses terus ke sel tahanan itu.
3.20 petang: Peguam Gobind Singh Deo menyambung hujah pihak pembelaan dengan menyentuh soal kaitan Lelaki-Y dengan Anwar.
2.40 petang: Sangeet menimbulkan keraguan tentang penggunaan berus gigi, tuala dan botol air yang digunakan dalam lokap tahanan sebagai bahan bukti.
2.30 petang: Prosiding disambung dengan peguam Sangeet Deo Kaur memulakan hujahnya.
Sangeet memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwa tidak membuktikan DNA yang ditemui pada Saiful adalah milik Anwar sebaliknya hanya dinamakan Lelaki-Y.
Jika betulpun DNA itu milik Anwar, ada banyak faktor lain yang perlu diambil kira.
1.10 petang: Prosiding direhatkan seketika dan disambung semula selepas waktu makan tengah hari.
1.00 petang: Ramkarpal berhujah terdapat sampel daripada Saiful yang menunjukkan degradasi tapi pada sampel lain ia menunjukkan perbezaan.
Ramkarpal mengulangi bahawa atas kepelbagaian keraguan, pendakwaan ke atas Anwar perlu digugurkan.
12.50 tengah hari: Ramkarpal berhujah ada sebab untuk mencurigai Supt. Jude Pereira kerana pernah didapati 'berbohong' dalam sebuah prosiding lain.
Selain itu Ramkarpal berkata bahawa siasatan terhadap Anwar tidak dijalankan dengan baik.
Ramkarpal sekali lagi menekankan bahawa perlakuan liwat tidak mungkin berlaku atas sebab Anwar pernah mengalami masalah sakit belakang.
12.40 tengah hari: Ramkarpal menyentuh soal latar belakang pakar kimia yang terlibat dalam kes itu, dan mempertahankan kredibiliti pakar kimia luar negara Dr Brian Lealie McDonald.
Selain itu menurutnya, Dr Brian tidak pernah mempertikai prosedur uji kaji yang dijalankan Dr Seah dan Dr Nor Aidora tetapi kurang bersetuju dengan hasil uji kaji DNA tersebut.
12.20 tengah hari: Ramkarpal menekankan bahawa perlakuan liwat ke atas Saiful tidak berlaku. Dia mempersoalkan tentang dakwaan berlakunya penembusan (penetrasi) sedangkan tiada kenyataan jelas daripada doktor pemeriksa tentang kesan fizikal kemasukan 'objek' pada dubur Saiful.
12.00 tengah hari: Ramkarpal berhujah tentang ketidakpastian berlaku penembusan pada dubur Saiful kerana tiada kesan fizikal ditunjukkan.
Peguam itu juga bercakap tentang kemungkinan sampel air mani yang telah diusik dan boleh diragui kelayakannya menjadi bahan bukti.
Selain itu, tempoh 56 jam sperma itu berada dalam dubur Saiful turut dibangkitkan dan ia, menurut Ramkarpal, boleh menjejaskan hasil uji kaji kerana kemerosotan sifat.
11.55 pagi: Panel hakim tiba di kamar mahkamah dan prosiding disambung semula.
Ramkarpal meneruskan hujah dengan menegaskan bahawa adalah menjadi beban pihak pendakwa untuk membuktikan Anwar bersalah.
11.50 pagi: Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang dilihat memasuki kamar mahkamah dan duduk di galeri awam.
11.45 pagi: Sesi prosiding masih belum disambung semula. Anwar ambil peluang untuk bersama ahli keluarga, selain berbincang dengan para peguamnya.
11.15 pagi: Prosiding berehat sebentar. Ditangguh ke pukul 11.30 pagi.
11.00 pagi: Ramkarpal menekankan, faktor degradasi memain peranan penting dalam melayakkan sesuatu bukti.
10.45 pagi: Isu degradasi dan sampel unggul khususnya merujuk pada bahan bukti sperma dihujahkan semula oleh Ramkarpal. Menurutnya, testimoni pakar kimia Dr Seah yang memproses bahan bukti DNA daripada dubur Saiful boleh dipertikai.
10.30 pagi: Ramkarpal menafikan dakwaan pihak pendakwa yang menyatakan kemungkinan jejak DNA lelaki misteri selain Lelaki-Y adalah daripada Dr Osman yang memeriksa Saiful.
10.20 pagi: Ramkarpal memetik testimoni pakar kimia Dr. Seah Lay Hong dengan menyatakan bahawa proses uji kaji spesimen bahan bukti boleh diragui. Antara lain yang dibahaskan adalah bahan bukti sperma dan tiga barang yang diambil dari lokap tahanan.
10.00 pagi: Ramkarpal dan hakim Tun Arifin Zakaria berbalas-balas soalan dan jawapan tentang perincian teknikal dan saintifik yang ditekankan pihak pembelaan.
9.45 pagi: Hakim memberi indikasi meneruskan prosiding. Peguam pembela Ramkarpal berhujah tentang bahan bukti yang tercemar dan pengendalian proses uji kaji sampel yang diragui ketepatan hasilnya.
9.32 pagi : Sebelum sesi hujah balas pembelaan bermula, Shafee terlebih dahulu bangun dan mendedahkan tentang laporan beberapa portal berita yang memberi laporan yang tidak adil.
Melalui laporan portal berita itu, Anwar memberi kenyataan yang menyerang kredibiliti mahkamah, mempersenda peguam pendakwaan dan meragui keupayaan hakim membuat pertimbangan.
Shafee meminta mahkamah agar Anwar menjelaskan kenyataan tersebut, namun Datuk Sri Gopal Sri Ram menyatakan bahawa perkara itu tidak perlu dan menyifatkannya sebagai cubaan mengalih fokus prosiding.
9.30 pagi : Panel lima hakim masuk ke kamar mahkamah. Prosiding dimulakan.
8.50 pagi : Anwar masuk ke kamar mahkamah bersama isteri, Datuk Seri Wan Azizah serta kenalan terdekat. Anwar menyapa ceria kepada kumpulan wartawan sebelum berbincang sesuatu dengan Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.
Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.
Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.
Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.