Kes Liwat II: Prosiding ditangguh sehingga esok

T K Letchumy Tamboo, Hamzah Hamid
Oktober 30, 2014 13:43 MYT
Peguambela Anwar, Ramkarpal Singh menyambung sesi penghujahannya hari ini pada sebelah pagi. -Foto Astro AWANI
Sesi rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membebaskannya daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya masuk hari ketiga hari ini.
Peguambela Anwar, Ramkarpal Singh menyambung sesi penghujahannya semalam pada sebelah pagi, sebelum diteruskan sesi hujah balas daripada pihak pendakwa yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dijangka diadakan di sebelah petang nanti.
Pihak pendakwa dijangka akan membentangkan hujah bukan saintifik manakala pada pagi hari Jumaat, Muhammad Shafee memerlukan dua jam untuk menyampaikan hujah saintifik berkenaan sampel DNA tersebut.
Berikut adalah perkembangan prosiding yang berlangsung hari ini:
12.58 petang: Pasukan pembelaan selesai merumuskan hujah mereka petang tadi dan Pendakwaraya Tan Sri Shafee Abdullah kemudiannya meminta agar sesi pembentangan hujahnya dimulakan esok memandangkan beliau memerlukan lebih masa untuk menyediakan hujah balas.
Maka tiada sesi selepas rehat tengah hari pada hari ini. Penghujahannya yang bermula esok akan bersambung ke hari kedua iaitu pada hari Isnin ini.
Ketua Hakim, Tun Ariffin Zakaria membenarkan pelanjutan sesi tersebut dan menangguhkan prosiding ke esok.
12.40 tengah hari: Peguambela Sangeet Deo Kaur meminta sedikit masa untuk menjelaskan hujahnya semalam tentang pegawai polis yang ditugaskan membawa 3 barang bukti, selain mengenai keadaan kebersihan lokap tahanan. Sangeet merujuk kepada beberapa gambar untuk penghujahannya.
12.10 tengah hari: Ramkarpal menyambung hujah, berdasarkan pemeriksaan doktor yang menunjukkan tiada bukti cedera atau penembusan, maka bagaimanakah sampel air mani boleh berada dalam dubur pengadu. Ramkarpal juga mengajukan soalan tentang beberapa penjelasan bukti yang sebelum ini tidak diberi perhatian sewaktu perbicaraan di Mahkamah Rayuan.
12.00 tengah hari: Ramkarpal mempertikai kredibiliti Mohd Saiful berikutan percanggahan kenyataan dan pengakuan Mohd Saiful tentang masa, cara dan butiran berkaitan insiden diliwat. Percanggahan itu, menurut Ramkarpal, adalah berdasarkan laporan pengadu itu kepada doktor yang memeriksa dan ketika dia memberi keterangan di mahkamah.
11.40 pagi: Ramkarpal merujuk kepada keputusan empat doktor, dari kedua-dua pihak pendakwa dan pembela, yang menyatakan bahawa tiada kesan cedera pada rektum Mohd Saiful. Persoalan tentang sama ada benar berlaku penembusan telah dibangkitkan.
11.30 pagi: Prosiding disambung semula. Ramkarpal menyambung hujahnya dan bersedia untuk rumusan keseluruhan.
11.20 pagi: Anwar kembali ke kamar mahkamah dan berbual dengan hadirin di galeri awam, termasuk Sasterawan A. Samad Said, dan veteran DAP, Lim Kit Siang.
11.15 pagi: Sidang berehat sebentar.

Sekumpulan penyokong @anwaribrahim sedang mengadakan sesi bacaan Yasin di hadapan Istana Kehakiman @501Awani pic.twitter.com/IDF7a6gPa5

— T.K. Letchumy (@TKLetchumy) October 30, 2014
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
10.30 pagi: Ramkarpal mengatakan bahawa Jude berbohong tentang pemahamannya mengenai cara kendalian spesimen bahan bukti. Dalam hujahnya, Ramkarpal menekankan bahawa Judy tidak perlu membuka, memeriksa dan menanda semula 12 spesimen tersebut setelah kesemuanya sudahpun melalui prosedur standard oleh doktor/pakar kimia yang menyediakannya sebelum itu.
10.20 pagi: Ramkarpal memetik kembali pengakuan seorang saksi, Superintenden Jude Pereira, yang menurutnya tidak mengendalikan spesimen bahan bukti mengikut prosedur. Antaranya adalah tentang pembukaan bungkusan spesimen dan penandaan label serta penyimpanan di tempat yang tidak bersuhu dingin.
10.00 pagi: Ramkarpal memperincikan aspek perbandingan sampel DNA daripada bahan bukti tuala dengan sampel dari rektum pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Isu pencemaran sampel, pengendalian dan garis panduan membuat ujian makmal terhadap sampel diberi penekanan.
9.36 pagi: Prosiding hari ketiga bermula dengan peguam Ramkarpal Singh menyambung hujahnya mengenai hal saintifik tentang bahan bukti dan DNA.
9:30 pagi: Suasana di hadapan Istana Kehakiman masih lengang, hanya satu kumpulan kecil sekitar 50 orang penyokong Anwar kelihatan hadir.
9.11 pagi: Anwar tiba di kamar mahkamah dan ambil peluang menyapa kenalan di galeri awam. Beliau kemudian bergerak ke sudut depan barisan media untuk bercakap di telefon dengan individu berprofil tinggi dari Manila yang disebut Anwar sebagai 'Presiden'. Anwar seterusnya membuat perbincangan ringkas bersama ketua barisan pembelaan, Gopal Sri Ram dan beberapa peguam lain.
9:00 pagi: Anwar tiba untuk prosiding hari ini tetapi tidak melalui kawasan penyokongnya seperti biasa tetapi memasuki mahkamah mengikut pintu lain. Manakala penyokong Mohd Saiful Bukhari pula, langsung tidak kelihatan. Malah, pengamal media lebih ramai daripada penyokong kedua-dua pihak.
Kelihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pagi ini untuk prosiding hari ketiga rayuan kes liwatnya - Foto Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai panel lima hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Anwar diwakili 14 peguam diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.
Peguam lain ialah Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo, N.Surendran, R.Sivarasa, J.Leela, Latheefa Koya, Lim Choon Khim, Eric Paulsen, Michelle Yesudas, Shahid Adli Kamaruddin, Zaleha Al-Hayat, Jeremy Vinesh Anthony dan Mohamed Aliff Bolkin.
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu.
Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 26 Jun 2008.
Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
#Anwar Ibrahim #liwat #Mohd Saiful Bukhari Azlan
;