Kes Liwat: Anwar failkan semakan keputusan di Mahkamah Persekutuan

Sathesh Raj
April 30, 2015 14:20 MYT
Peguam Anwar N. Surendran dan naib presiden PKR Nurul Izzah turut hadir hari ini di Mahkamah Persekutuan - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap sabitan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.
Rayuan difailkan di bawah Peraturan 137 Peraturan-Peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 bagi memohon membatalkan dan mengenepikan sabitan dan hukuman terhadap beliau.
"Terdapat ketidakadilan yang serius dalam keputusan mahkamah yang pertama. Mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak mana-mana ketidakadilan yang berlaku,” kata peguamnya, N. Surendran.
BACA: Mahkamah putuskan Anwar bersalah, kekal hukuman penjara 5 tahun
BACA: Anwar hilang kelayakan untuk mengundi - SPR
BACA: Anwar kekal Penasihat Ekonomi negeri Selangor - Azmin
Pada 10 Februari, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Shariff dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali, mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang itu.
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan itu. Beliau dibantu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.
Manakala Anwar diwakili oleh sepasukan 15 orang peguam yang diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan sendiri.
#Anwar Ibrahim #Ketua Hakim Negara #liwat #Mahkamah Persekutuan #Tun Arifin Zakaria
;