Kes lima pelajar buli pelajar Tingkatan Satu diklasifikasi NFA - Polis

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 9, 2024 08:00 MYT
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semua pelajar terlibat berusia 16 dan 17 tahun itu telahpun diberikan amaran polis agar tidak mengulangi perkara sama. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Siasatan polis terhadap kes buli melibatkan lima pelajar lelaki di sebuah sekolah asrama di sini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Ringkasan AI
  • Siasatan polis terhadap kes buli melibatkan lima pelajar lelaki di sebuah sekolah asrama di Perak diklasifikasikan sebagai -tiada tindakan lanjut- (NFA).
  • Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, memberikan amaran kepada semua pelajar terlibat agar tidak mengulangi perbuatan yang sama.
  • Meskipun tidak ada tindakan undang-undang, pihak sekolah masih boleh mengambil tindakan disiplin dan mengawasi pelajar lain untuk memastikan kes serupa tidak berulang.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semua pelajar terlibat berusia 16 dan 17 tahun itu telahpun diberikan amaran polis agar tidak mengulangi perkara sama.
"Keputusan NFA ini ditetapkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan persetujuan dicapai semua pihak secara harmoni tanpa sebarang unsur paksaan.
"Penyelesaian begini baik untuk kedua-dua pihak demi kelangsungan masa depan pelajar selain tidak banyak memberi kesan yang memudaratkan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata, dalam kes itu, pihak sekolah masih boleh mengambil tindakan disiplin sewajarnya supaya menjadi pengajaran kepada pelajar lain.
"Jika sekolah nak ambil tindakan disiplin, itu terpulang, mungkin untuk memberi pengajaran.
"Kita juga telah menggesa pihak sekolah terutama warden untuk mengawasi setiap pergerakan mereka yang terlibat serta pelajar asrama lain bagi memastikan kes sama tidak berulang," ujarnya.
Pada 29 Julai lalu, media melaporkan polis menahan lima pelajar lelaki berusia 16 dan 17 tahun bagi membantu siasatan kes seorang pelajar Tingkatan Satu dipukul sehingga mengalami kecederaan.

Azizi dalam kenyataan berkata, tangkapan dibuat setelah menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa dipukul oleh pelajar tingkatan empat dan lima di sebuah sekolah menengah di sini, 24 Julai lepas.

Mangsa telah mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
#buli pelajar Tingkatan Satu #sekolah asrama #Tiada Tindakan Lanjut #polis perak #NFA