Kes leptospirosis semakin membimbangkan, kata Abdul Rahman

Bernama
Ogos 24, 2013 17:34 MYT
Sebanyak 18 kematian direkodkan daripada 1,768 kes jangkitan virus kencing tikus atau leptospirosis di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 1 Jun lepas yang memperlihatkan trend membimbangkan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata rekod itu menunjukkan masalah infestasi tikus semakin meruncingdan harus diberi perhatian sewajarnya.
"Kes-kes yang dilaporkan Kementerian Kesihatan menunjukkan pada 2011 daripada 2,268 kes dengan 55 kematian meningkat kepada 3,665 kes (48 kematian) pada tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kawalan Tikus peringkat kebangsaan di pekan Menggatal, dekat sini hari ini.
Abdul Rahman berkata trend membimbangkan itu berikutan kesedaran menyeluruh mengenai penyakit Leptospirosis agak rendah di kalangan masyarakat yang mendorong kementerian melancarkan kempen bersepadu itu bagi membanteras infestasi tikus yang menyebabkan leptospirosis.
Katanya melalui kempen itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengenal pasti kawasan infestasi tikus seperti pasar awam, kantin, dapur sekolah, kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan premis makanan untuk program gotong royong membersihkan kawasan.
"Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menjayakan kempen ini kerana jika satu kedai dalam deretan tidak memainkan peranan, tikus yang berada di kedai itu akan pergi ke kedai-kedai lain," katanya.
Abdul Rahman berkata tahap kebersihan premis-premis makanan juga akan digredkan untuk kemudahan pengguna.
Katanya pihak kementerian melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) juga sedang merangka garis panduan untuk diguna pakai PBT dalam menjalankan aktiviti kawalan tikus.
"Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan (MKN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin akan diadakan minggu depan atau minggu selepas itu bagi membincangkan garis panduan berkenaan," katanya.
Terdahulu, ketika berucap beliau berkata kementerian memperuntukkan lebih RM3.2 juta untuk Program Kawalan Vektor termasuk kawalan tikus kepada PBT di seluruh negara.
Abdul Rahman berkata inisiatif kempen kawalan tikus itu turut membabitkan Kementerian Pelancongan di bawah 1Malaysia Clean, 1Malaysia Green sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 bagi mengekalkan keindahan dan kebersihan untuk manfaat bersama.
#Abdul Rahman Dahlan #kecing tikus #leptospirosis #virus
;