Kes lelaki autisme raba: JKM teliti semula SOP
Rahimah Abdullah
September 19, 2018 21:57 MYT
September 19, 2018 21:57 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meneliti semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkaitan bagi menyelesaikan masalah-masalah melibatkan kelakuan Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk autisme.
Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak berkuasa terutama polis dalam mencari kaedah sesuai untuk menangani sebarang isu melibatkan golongan berkenaan.
Ketika ini katanya, beliau mahu masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu seorang lelaki autisme yang ditahan kerana meraba seorang gadis baru-baru ini.
Jelasnya, kedua-dua mereka disifatkan sebagai mangsa dan keluarga terlibat perlu diberi ruang untuk menyelesaikan perkara berkenaan.
“Saya minta orang ramai henti kecam mangsa wanita muda itu yang secara langsung menjadi mangsa , dan dia trauma kerana apa yang dilapor media tidak tepat dan saya lihat laporan polis dan beliau disentuh di private part dan trauma gadis itu.
“Saya berharap netizen hentikan kecam mangsa wanita itu dan hentikan victim blaming, victim shaming kerana ada yang kata kononnya mangsa berpakaian tidak elok , ini semua irrelevant,” katanya kepada media selepas Sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan di PICC di sini hari ini.
JKM juga sudah bertemu dengan kedua-dua mangsa dan mereka telah diberikan khidmat kaunseling.
“Kita akan bekerjasama dengan polis. Sekarang kita baru dengar sebelah pihak di media. Saya sudah jumpa gadis berkenaan dan dia sangat trauma.
“Komen netizen sangat nasty, ada yang tidak tahu apa itu autisme tetapi komen bukan-bukan. Sebagai komuniti kena ada kesedaran terutama terhadap autisme,” ujarnya.
Dalam kejadian minggu lalu, keluarga gadis berkenaan membuat laporan polis
terhadap seorang lelaki autistik yang didakwa meraba anaknya dalam kejadian berhampiran sebuah restoran di Jalan USJ 10/1B, Subang Jaya.
Penahanan itu turut mendapat kecaman sesetengah netizen dan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari bagaimanapun berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 22 tahun itu dilakukan mengikut prosedur biasa polis.