Kes langgar pelajar: Keluarga lantik peguam, kumpul bukti lanjut

Abd Razak Mohd Ali
Disember 17, 2023 18:31 MYT
Peguam, Wan Azmir bercakap kepada pemberita semasa mengunjungi kediaman keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa pada Ahad. - Foto Astro AWANI
IPOH: Keluarga pelajar 17 tahun yang maut dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru, Ipoh, pada Jumaat, telah melantik peguam untuk mewakili mereka.
Peguam, Datuk Wan Azmir Wan Majid dari syarikat guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berkata, pihaknya dilantik untuk melihat kepada dua perkara.
Menurutnya, mereka akan melihat dan memastikan siasatan jenayah dilakukan secara telus.
“Kami juga telah diarahkan untuk melihat tindakan sivil terhadap si pelaku dan juga sama ada kerajaan dan juga pihak polis juga adalah pihak-pihak yang perlu kami ambil tindakan.
“Setakat ini apa yang kami buat ialah untuk mengumpul segala bahan bukti yang ada dan melihat kembali semua video-video yang dihadapkan pada kami dan juga mengumpul setiap saksi yang ada di tempat tersebut.
“Insya-Allah dalam masa dua tiga hari ini kami dapat kumpul semua ini dan kami akan hadapkan semua bukti-bukti pembuktian ini kepada pihak polis agar dapat membantu mereka dalam siasatan dan juga tuntutan kami terhadap kejadian tersebut,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita semasa mengunjungi kediaman keluarga mangsa di Taman Chepor Sentosa pada Ahad.
Menurutnya, dalam masa sama, mereka juga akan menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa sekiranya suspek dihadapkan ke mahkamah.
Sementara itu, bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin berkata, tujuan mereka melantik peguam untuk mencari keadilan terhadap kematian anaknya.
“Saya nak keadilan yang telus. Sebab saya tahu kita sekarang berurusan dengan Polis Diraja Malaysia jadi saya hendak keadilan supaya nasib anak saya terbela supaya dia (siasatan) ini telus dan tiada selindung-selindung, itu sahaja,” katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari pada Jumaat, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.
#langgar pelajar #lantik peguam #Hafarizam Wan & Aisha Mubarak #siasatan telus
;