Kes langgar lari perarakan Thaipusam: Polis cari Seng Guan Chuan
Astro Awani
Januari 23, 2016 18:12 MYT
Januari 23, 2016 18:12 MYT
Polis mencari seorang lelaki yang bernama Seng Guan Chuan berusia 20-an yang dipercayai pemandu kereta BMW bagi membantu kes langgar lari yang mengorbankan tiga pejalan kaki pada Sabtu.
Kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur- Seremban berhampiran susur keluar Desa Petaling itu turut mencederakan tiga yang lain.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan berkata identiti pemandu itu dikenal pasti menerusi semakan nombor pendaftaran kereta berkenaan yang ditinggalkan di lorang kecemasan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
Katanya dalam satu sidang media, pemandu kereta tersebut bagaimanapun menghilangkan diri.
Setakat ini, lelaki itu belum tampil di mana-mana balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
Dalam kemalangan jam 8 pagi, sekumpulan 45 penganut Hindu berjalan kaki dari Seremban menuju Batu Caves dalam ritual perarakan sempena perayaan Thaipusam, Ahad ini.
Ketika kejadian, mereka berjalan di lorong kecemasan sebelum dirempuh kereta BMW dari pusat bandar menghala Seremban.
Saravanan Krishnan, 45, Papa Sinnah, 63 dan Cinnakanoo Kannan, 50, maut di tempat kejadian, manakala rakan mereka, Megaswaran Palanisamy, 40, Darrshen Devara, 18 dan seorang lagi wanita belum dapat dipastikan identitinya, cedera parah.
Pemandu BMW berkenaan kemudiannya memecut meninggalkan tempat kejadian sejurus kemalangan sebelum meninggalkan kereta itu di lebuhraya KESAS.
Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zaki Wahab di talian 012-877 8620 atau Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur (03-207 1999).