Kes laman web MAS digodam: Data peribadi pelanggan tidak terdedah - MAS

Astro Awani
Januari 26, 2015 12:53 MYT
Dalam satu kenyataan ringkas, MAS turut memberi jaminan data peribadi pelanggan tidak terdedah dan berada dalam keadaan selamat. - Foto paparan skrin layar
Syarikat penerbangan Malaysia Airlines memberi jaminan insiden laman webnya yang dipercayai digodam awal pagi Isnin tidak akan memberi impak negatif terhadap tempahan tiket yang telah dilakukan oleh pelanggannya.
Dalam satu kenyataan media ringkas yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan itu, MAS memberi jaminan data peribadi pelanggan tidak terdedah dan berada dalam keadaan selamat ekoran kejadian tersebut.
Kenyataan itu turut menyatakan, 'server' laman web MAS masih beroperasi dan syarikat penerbangan itu telah menangani masalah tersebut dengan syarikat pembekal servis dan sistem dijangka akan dibaik pulih dalam masa 22 jam.
Insiden tersebut telah dilaporkan kepada Cybersecurity Malaysia dan Kementerian Pengangkutan.
Buat masa ini, tidak diketahui sama ada pihak yang menamakan diri mereka “Cyber Caliphate"”itu dikaitkan dengan rangkaian kumpulan militan Negara Islam (IS) yang mendakwa perjuangan mereka atas semangat khalifah.
Laman web rasmi syarikat penerbangan itu digodam pada kira-kira jam 10 pagi tadi.
Pengguna internet yang melayari URL www.malaysiaairlines.com dibawa ke satu laman web yang mempuyai imej pesawat Malaysia Airline.
#CyberSecurity Malaysia #digodam #Kementerian Pengangkutan #Laman web #MAS
;