Kes Kim Jong-nam: Mahkamah Tinggi Shah Alam tolak permohonan Siti Aisyah
Fareez Azman
Disember 18, 2018 18:18 MYT
Disember 18, 2018 18:18 MYT
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak notis usul tertuduh pertama kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam warga Indonesia, Siti Aisyah.
Ia berhubung permohonan defendan mendapatkan salinan rakaman percakapan saksi pendakwaan.
Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.
Jelasnya, mahkamah terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan kerana salinan rakaman itu istimewa.
Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pembelaan yang diwakili peguam Gooi Soon Seng untuk menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah menetapkan 21 Disember depan bagi sebutan semula kes.
Pada 7 Disember lalu, pihak pembelaan menfailkan notis usul bagi memohon salinan rakaman percakapan dikemukakan dibawah seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu, Siti Aisyah tiba di perkarangan Mahkamah Tinggi kira kira jam 9.50 pagi Selasa.
Beliau tiba menaiki kenderaan polis itu diiringi beberapa anggota lengkap bersenjata.
Siti Aisyah, 26 tahun bersama seorang lagi wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong didakwa dengan empat individu yang masih bebas atas dakwaan membunuh Jong-nam, 45 tahun, di balai berlepas Lapangan Terbang klia2, pada jam 9 pagi, 3 Feb, 2017
#Indonesia
#KesBunuh
#KimJongNam
#KLIA
#KoreaUtara
#mahkamah
#permohonan
#rakaman
#rayuan
#saksi
#SitiAisyah
#tolak
#Vietnam
#VX