Kes kesan sampingan mudarat serius vaksin rendah - KJ

Astro Awani
Februari 7, 2022 22:12 MYT
Khairy memaklumkan, majoriti daripada AEFI adalah melibatkan kategori ringan dan biasanya akan pulih dalam tempoh masa beberapa hari tanpa rawatan. - Gambar fail/ Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini hanya menerima 64 laporan kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) yang diklasifikasikan sebagai serius.
Menterinya, Khairy Jamaluddin memberitahu, angka itu adalah bersamaan dengan kadar lima laporan bagi setiap satu juta dos penggalak vaksin COVID-19.
"Jumlah ini adalah jauh lebih rendah berbanding laporan AEFI serius yang diterima bagi keseluruhan, iaitu pada kadar 27 laporan bagi setiap satu juta dos.
"Kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak adalah jauh lebih rendah iaitu empat kali lebih rendah berbanding kadar keseluruhan.
"Secara keseluruhan, Sistem Pelaporan AEFI Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) telah menerima sejumlah 24,788 laporan AEFI termasuk 1,004 laporan melibatkan dos penggalak vaksin,” katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan, majoriti daripada AEFI adalah melibatkan kategori ringan dan biasanya akan pulih dalam tempoh masa beberapa hari tanpa rawatan.
Sementara itu katanya, kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak pula direkodkan pada 84 bagi setiap 1 juta dos berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan 390 setiap 1 juta dos.
"Demam, kesakitan pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan, adalah antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin," ujarnya.
Beliau turut memberitahu, sekat ini KKM masih belum menerima sebarang laporan AEFI selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dimulakan pada Jumaat minggu lalu.
Bagi kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang sudah menerima vaksin pula katanya, KKM menerima 74 laporan AEFI.
"Daripada jumlah ini, kesan advers serius adalah 74 iaitu 0.013 bagi setiap 1,000 dos iaitu sangat rendah," tambahnya.
Setakat ini KKM sudah memberikan 5.6 juta dos vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun sejak program imunisasi untuk golongan itu dimulakan.
#Kementerian Kesihatan #COVID-19 #Khairy Jamaluddin #AEFI
;