Kes keropok beracun: Pemilik kebun diminta tampil jika ada maklumat tambahan

Abdul Hadi Che Awang
Ogos 19, 2024 16:40 MYT
Saifuddin Nasutio, berkata maklumat yang diberikan itu kelak berkemungkinan akan membantu siasatan memandangkan proses siasatan dilakukan polis adalah berbentuk progresif dan tidak statik. - Gambar/ Bernama
JITRA: Pemilik kebun yang direman susulan kes kematian dua beradik yang disyaki makan keropok beracun di Kulim pada bulan lalu, diminta tampil memberikan laporan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat tambahan berkaitan kes terbabit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata maklumat yang diberikan itu kelak berkemungkinan akan membantu siasatan memandangkan proses siasatan dilakukan polis adalah berbentuk progresif dan tidak statik.
"Kalau ada di kalangan mereka yang disiasat itu melahirkan rasa tidak puas hati, (atau) dia mempunyai maklumat bahawa bukan sekadar dia (yang terlibat), (tetapi) ada pihak lain (yang didapati cuai atau sebagainya), dia boleh saja menyampaikan (maklumat) kepada pihak polis.
"Siasatan (yang dilakukan) ini, (adalah) satu yang bersifat progresif, bukan statik (atau) tamat di situ (sahaja)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kedah 2024 di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra, pada Isnin.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata keputusan membabitkan tempoh reman ke atas mana-mana pihak adalah bukan di bawah bidang kuasa pihak polis sebaliknya di bawah mahkamah.
Sehubungan itu, tambahnya, semua pihak berkuasa yang menjalankan siasatan membabitkan mana-mana kes diberikan ruang secukupnya bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing.
"Jadi dalam kes (keropok beracun) ini, sama ada tempoh reman itu dianggap munasabah atau tidak, saya percaya bahawa pihak polis (telah) bertindak berdasarkan kepada undang-undang yang membolehkan pihak polis memohon (reman kepada individu berkenaan),
"Sebab (tempoh bagi proses) reman bukan keputusan polis, reman ini ada satu lagi autoriti iaitu institusi mahkamah, polis cuma boleh bentangkan, bukan sedikit kes di mana pihak polis minta sambungan reman, tetapi ditolak oleh mahkamah, itu pun (sudah) jelas (mengenai bidang kuasa ini)," katanya.
Terdahulu, seorang pemilik akaun media sosial dipercayai pekebun yang ditahan reman susulan kematian dua beradik terbabit, mempersoalkan tempoh reman serta kecuaian pihak yang terbabit dalam penjagaan kanak-kanak berkenaan.
Menurutnya yang dikenali sebagai Uzair Shafawi Hasbullah, 34, berkata tindakan itu dilakukan adalah bagi membersihkan namanya selepas dikecam pelbagai pihak selain mendakwa menjadi mangsa fitnah.
#keropok beracun #Saifuddin Nasution #pemilik kebun #maklumat tambahan