Kes keracunan makanan: Pengurusan Hotel Rennaisance sangkal dakwaan
Hilal Azmi
Ogos 24, 2017 18:20 MYT
Ogos 24, 2017 18:20 MYT
Pihak pengurusan Hotel Rennaisance yang menjadi lokasi kontinjen negara berkampung menolak kemungkinan keracunan makanan yang membabitkan atlet Malaysia berpunca daripada pihaknya.
Menurut Ketua Komunikasi dan Hubungan Awamnya, Song Mei Lan, setakat ini pihaknya telah memberikan kerjasama sebaiknya dalam siasatan yang dijalankan.
"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkali-kali mengakui bahawa prosedur serta tahap kebersihan yang diguna pakai Hotel Rennaisance melebihi daripada kriteria yang telah ditetapkan.
"Kami juga mengamalkan kawalan yang ketat dalam hal penyediaan makanan mengikut standard yang ditetapkan Marriot dan standard antarabangsa, HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Point).
"Justeru itu, setakat ini tiada bukti konklusif yang boleh mengaitkan insiden yang berlaku ke atas atlet negara dengan perkhidmatan katering yang disediakan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Setakat ini Jawatankuasa Pengelola Malaysia, MASOC telah mengesahkan menerima laporan berkaitan keracunan makanan yang membabitkan atlet Malaysia.