Kes kematian kucing: Tiada saksi, CCTV punca siasatan makin sukar - DVS

Khalis Khadir
Disember 21, 2024 17:11 MYT
DVS menerima dua aduan kematian kucing di Universiti Malaya yang dilaporkan pada 12 dan 20 Disember 2024. -Gambar fail/FB cat lovers group Malaysia
KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan menerima dua aduan berasingan berhubung kes kematian kucing di Universiti Malaya (UM) yang kini dalam siasatan.

Ringkasan AI
  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menerima dua aduan mengenai kematian kucing di Universiti Malaya. Kejadian pertama dilaporkan pada 12 Disember 2024, dan kejadian kedua melibatkan kematian empat ekor kucing pada 20 Disember 2024.
  • Dalam kejadian pertama, bangkai kucing telah terurai sehingga bedah siasat tidak dapat dilakukan. Tiada saksi atau rakaman CCTV yang dapat membantu siasatan. Dalam kejadian kedua, tiada bukti fizikal seperti karkas atau darah ditemui.
  • Bangkai kucing dalam kejadian kedua dikatakan telah dihantar ke klinik veterinar oleh wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, namun identiti klinik tidak diketahui dan maklumat lanjut gagal diperoleh.

Menerusi satu kenyataan, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 12 Disember lalu di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM, namun aduan rasmi hanya diterima pada 17 Disember lalu.
Jelasnya, Pasukan Unit Kebajikan Haiwan DVS Kuala Lumpur menjalankan siasatan pada hari sama, namun bangkai kucing yang ditanam di kawasan fakulti berkenaan sudah terurai.
Ia menyebabkan bedah siasat tidak dapat dilakukan bagi mengetahui punca kejadian.
Pihak pengurusan universiti juga memaklumkan, tiada saksi yang melihat kejadian berkenaan atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan terbabit.
Bagi kejadian kedua, aduan diterima pada 20 Disember lalu melibatkan kematian empat ekor kucing di beberapa lokasi sekitar kampus UM.
Pasukan penyiasat telah menjalankan siasatan pada hari sama, namun tidak menjumpai sebarang karkas, darah atau bukti berkaitan.
Berdasarkan maklumat daripada pengurusan keselamatan UM, bangkai kucing dikatakan telah dihantar ke klinik veterinar oleh wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, namun identiti klinik tidak diketahui kerana pihak DVS gagal mendapatkan maklumat itu daripada wakil berkenaan.
#DVS #Jabatan Veterinar #kucing mati #universiti malaya
;