Kes kematian banduan Penjara Kajang tiada unsur jenayah - Mahkamah

Sinar Harian
September 13, 2024 16:04 MYT
Pada 21 Jun 2021, media melaporkan, seorang banduan di Penjara Kajang meninggal dunia, lapan hari sebelum mahkamah mendengar rayuannya atas tuduhan membunuh. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini pada Jumaat, memutuskan kematian seorang banduan di Penjara Kajang pada tiga tahun lalu, ialah disebabkan penyakit semula jadi dan tiada unsur-unsur jenayah.
Ketika membaca keputusan inkues kes kematian dalam tahanan, Koroner, Rasyihah Ghazali berkata, mendiang K Roopan, 25, yang menerima hukuman di penjara Kajang, mengalami pembekuan darah di bahagian anggota badan bawah kiri.
Menurutnya, kondisi 'pulminory thromboempolism' iaitu darah beku dalam saluran darah yang pecah dan merebak, sehingga menyumbang kepada kematiannya.
Bagaimanapun hakim Mahkamah Sesyen itu berkata, tiada bukti konklusif tentang faktor bekuan darah itu berlaku.
"Mahkamah mendapati unsur kekerasan dan jangkitan COVID-19 bukan menjadi punca kerana si mati tergolong sebagai obesiti, sekali gus berisiko menghadapi masalah darah beku.
“Berdasarkan keterangan saksi-saksi, pembekuan darah yang terbentuk bukan disebabkan oleh kekerasan jenayah,” katanya.
Berdasarkan rekod saksi, beliau berkata, kurang seminggu sebelum meninggal dunia, mangsa telah menerima rawatan di klinik penjara selepas mengadu sesak nafas, sebelum dibawa ke Hospital Kajang.
Katanya, pihak perubatan di hospital berkenaan telah memberi ubat yang bersesuaian dengan tanda-tanda penyakit termasuk bantuan oksigen dan dia menunjukkan kesan penyembuhan, sebelum dibenarkan keluar tiga hari kemudian.
Menurutnya, mangsa juga tidak menunjukkan pembengkakan kaki dan mampu bernafas seperti biasa tanpa bantuan oksigen.
Selepas dibawa semula ke penjara Kajang, beliau berkata, mangsa ditempatkan di bilik kuarantin, sehinggalah rakan sel penjara memberitahu lelaki itu pengsan dan diberi rawatan teknik pertolongan cemas (CPR) sebelum di bawa semula ke hospital sama.
“Malangnya, pihak perubatan hospital mengesahkan dia tidak lagi bernyawa, tangan dan kaki telah sejuk, termasuk tiada reaksi pada anak mata.
“Susulan itu, mahkamah mendapati tiada sebarang kecuaian atau pengabaian oleh pihak hospital yang menyebabkan kematian mangsa kerana mereka telah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
Pada 21 Jun 2021, media melaporkan, seorang banduan di Penjara Kajang meninggal dunia, lapan hari sebelum mahkamah mendengar rayuannya atas tuduhan membunuh.
Timbalan Pengerusi, Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arulchelvan berkata, mendiang merupakan antara dua individu yang ditangkap berhubung tiga kes pembunuhan yang berlaku pada tahun 2013.
Pada mulanya, Roopan tidak dianggap sebagai suspek sehinggalah pihak polis mendakwa menemukan DNAnya di tempat kejadian, empat tahun kemudian.
Dia dihukum pada 2020, tetapi menegaskan dia tidak bersalah dan rayuannya dijadualkan untuk didengar pada 29 Jun 2021.
Sementara itu, peguam, Shashi Devan yang mewakili ahli keluarga mendiang berkata, pihaknya menunggu arahan lanjut sebelum mengambil sebarang tindakan susulan keputusan koroner terbabit. -- Sinar Harian
#kematian banduan #Penjara Kajang #Mahkamar Koroner #K Roopan #tiada unsur jenayah
;