Kes kematian Adib: Polis akan panggil semula saksi jika perlu

Astro Awani
September 30, 2019 12:36 MYT
Polis sedang menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim (gambar). -Gambar fail
Polis sedang menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid berkata siasatan kes berkenaan tidak pernah ditutup.
"Siasatan kes tersebut tidak pernah ditutup dan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Kita akan cuba mengesan mereka yang terlibat seperti mana arahan dibuat oleh Mahkamah Koroner supaya kita mengesan dan dibawa ke muka pengadilan.
"Kesemua saksi inkues sebelum ini sudah dipanggil memberi keterangan kepada polis, kita akan memanggil mereka semula jika perlu," kata Mior Faridalathrash Wahid.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad, memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.
Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan Kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.
Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.
#IJN #Institut Jantung Negara #kuil sri maha mariamman #Mior Faridalathrash Wahid #Mohd Kassim Abdul Hamid #Muhammad Adib Mohd Kassim #Rofiah Mohamad
;