Kes kematian Adam Rayqal perlu dikendalikan secara adil - Wan Azizah

Bernama
Julai 4, 2018 04:51 MYT
DR WAN AZIZAH: Perlu ada undang-undang atau peraturan tertentu untuk memastikan pengasuh ini bertanggungjawab dan perlu ada standard tertentu di mana mereka perlu dilatih secukupnya untuk menjaga bayi. -Gambar fail
Di sebalik kematian bayi Adam Rayqal Mohd Sufi boleh disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan dilihat dirancang lebih awal, kes itu perlu dikendalikan secara adil bagi semua pihak yang terlibat dalam kejadian itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam kes berkenaan, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata situasi penjaga bayi berkenaan dan tekanan yang mungkin dihadapinya perlu juga diteliti.
"Kena adil. Tidak boleh jatuhkan hukum macam itu sahaja tanpa beri pembelaan," katanya ketika ditemui wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja tiga hari beliau di Mongolia pada Rabu.
Mayat bayi lelaki berusia lima bulan itu ditemukan lengkap berpakaian dalam beg berwarna hijau dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya pada kira-kira 11 malam 3 Julai.
BACA: Adam Rayqal alami pendarahan dalaman di otak, retak tempurung kepala
BACA: Sebak, ibu mahu pangku Adam Rayqal dan enggan naik ambulans
Bagaimanapun, Dr Wan Azizah berkata kejadian itu menjadi peringatan akan perlunya pemantauan dilakukan terhadap pusat jagaan swasta atau individu yang menjadi pengasuh.
"Perlu ada undang-undang atau peraturan tertentu untuk memastikan pengasuh ini bertanggungjawab dan perlu ada standard tertentu di mana mereka perlu dilatih secukupnya untuk menjaga bayi," katanya.
Dr Wan Azizah berkata timbalannya Hannah Yeoh akan mendapatkan lebih banyak maklumat berkaitan kes itu sebelum kementerian mengambil langkah konkrit untuk menangani perkara itu.
Sementara itu, ketika ditanya tentang bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menghadapi pertuduhan, Dr Wan Azizah berkata adalah penting untuk tidak dibicarakan oleh media.
"Tidak kiralah apa perasaan saya dan apa yang saya fikirkan, adalah penting bahawa keadilan dilihat ditegakkan dan perlu berasaskan bukti," katanya.
Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
-- BERNAMA
#Adam Rayqal #keluarga #mayat #pengasuh #rumah #undang-undang #Wan Azizah
;