Kes kelar pelajar UiTM: Tidak mungkin wujud ketidakwarasan sementara - pakar
Linawati Adnan
Februari 6, 2015 10:53 MYT
Februari 6, 2015 10:53 MYT
Tidak mungkin wujud ketidakwarasan sementara kerana konteks kesementaraan itu tidak dapat dinilai, demikian pandangan peribadi seorang pakar psikologi.
Prof Madya Dr Mariani Md Nor dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya merujuk kepada kes melibatkan pelajar UiTM, Nursyuhada Johari yang maut disyaki dikelar seorang tukang masak yang dikatakan teman lelakinya, Selasa lalu.
“Kita tidak tahu latar belakang kes ini, jadi kita tidak dapat menilai apa yang berlaku sebenarnya. Namun, pada saya, ia tidak boleh dikatakan sebagai ketidakwarasan sementara atau konteks kesementaraan itu kerana ia juga boleh berlanjutan,” kata Dr Mariani.
Menurutnya, keadaan kesihatan mental yang tidak stabil berserta obses cinta itu boleh menyebabkan seseorang itu bertindak di luar keadaan normalnya.
“Kita lihat pada aspek kesementaraannya di situ. Kalau kesihatan mentalnya terjejas, saya kira, dia tidak akan menjadi seorang tukang masak kerana tugas itu perlu menggunakan peralatan membahayakan – api, pisau, sudu, garfu - semua ini boleh membunuh dan mencederakan orang lain.
"Jadi perkara ini boleh berlaku hasil daripada desakan naluri. Puncanya ialah obses cinta itu,” tambah Mariani.
Obses cinta ialah apabila seseorang itu mempunyai perasan atau semangat kekitaan yang tinggi berserta perasaan punyai hak milik yang menebal terhadap seseorang.
Perasaan yang kuat ini mendorong seseorang itu untuk berbuat apa sahaja termasuk mencederakan orang yang dikasihi ataupun orang lain bagi memastikan cintanya eksklusif.
Antara tanda individu itu obses cinta ialah apabila wujudnya perasaan cemburu buta yang berlainan atau melampau sehinggakan pasangan itu tidak dibenarkan berhubung dengan orang lain atau berkenalan dengan sesiapa sahaja di laman sosial.
Tanda kedua ialah apabila individu itu seorang yang panas baran yang selalunya tersentap apabila berlaku perkara yang mencuit perasaan apabila dikaitkan dengan orang yang disayangi.
Mariani juga berkata bahawa ahli keluarga terdekat memainkan peranan yang penting dalam melindungi dan memastikan kesejahteraan mental ahli keluarganya.
Ibu dan bapa adalah akar umbi kepada kesihatan mental yang optimum. Keluarga yang berkomunikasi dengan sihat dan berhemat antara satu sama lain dapat membantu dalam menjana mental yang sihat dan seterusnya menjamin kesejahteraan masyarakat sekeliling.
“Didikan agama dan moral yang kukuh yang membantu dalam menjamin batas-batas sosial kerana apabila seseorang itu berada berdua-duaan sahaja tanpa sesiapa di sekeliling - ditambah pula dengan keadaan mental yang kurang baik, ditambah dengan obses cinta yang keterlaluan, dan tanpa nasihat daripada orang yang dipercayainya - maka kekerasan dan keganasan akan berlaku,” kata Mariani.
Masyarakat sekeliling juga memainkan peranan yang sama penting dengan tidak cepat menghukum mereka yang mempunyai gangguan mental.
Masyarakat kini sering melabel mereka yang mencari pertolongan kaunseling serta pakar psikologi dengan perkataan-perkataan yang tidak sesuai seperti 'gila' atau pun 'bermasalah' juga mengeruhkan lagi keadaan emosi dan mental mereka yang terjejas.
Apabila ditanya mengenai tahap kesihatan mental rakyat Malaysia secara keseluruhannya, Mariani berkata perlu adanya pemantauan kerana terdapatnya peningkatan kes-kes jenayah melibatkan ahli keluarga di Malaysia.
“Keadaan kesihatan mental rakyat Malaysia ini perlu dikawal kerana saya lihat dari semasa ke semasa keadaan jenayah semakin bertambah.
"Keadaan jenayah ini juga banyak berlaku dalam kalangan keluarga di mana sebelum ini jarang-jarang berlaku," katanya lagi.
"Jadi, kalau keharmonian dalam satu unit keluarga itu dijaga oleh ibu bapa, adik beradik dan sebagainya, melalui komunikasi yang berkesan saya pasti satu Malaysia dengan jutaan unit keluarga di sini boleh berakhir dengan perkara yang positif daripada apa yang berlaku,“ ujar Mariani
Nursyuhada, pelajar tahun satu UiTM, maut dikelar suspek di tepi Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang, dekat Taiping.