Kes kelar isteri dan bayi: 'Saya tidak berdendam dengan suspek' - Bapa mangsa

Aiman Hakeem Awazmin
Julai 5, 2022 15:33 MYT
Menurut Rosman, majlis nikah kakak mangsa akan diteruskan beserta majlis tahlil buat mangsa dan bayinya. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: “Saya tidak akan berdendam dengan keluarga menantu kerana lebih mengenali menantu, Amir Adam.”
Demikian luahan, Rosman Ahmad, bapa kepada mangsa kelar ibu dan bayi yang disyaki dibunuh di kediaman mereka di Kampung Bakar Batu, di sini, pada Isnin.
Menurut Rosman, bapa kepada suspek juga telah berkali-kali memohon maaf kepadanya ke atas insiden kejam yang disyaki dilakukan suspek kerana dia mempercayai apa yang berlaku bukan dibawah kawalannya.
“Semalam jumpa minta maaf dan minta maaf lagi, saya maafkan saja, bukannya kita ini boleh menghakimi sesuatu benda tanpa kita tahu,” kata Rosman, ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Selasa.
“Saya ada bertanya (kepada bapa suspek) jika ada masalah peribadi anak dia ni, dia kata memang tiada. Tapi saya mendapat tahu, sebelum ini dia kerja mencuci bangunan Stadium Nusajaya dan dia berhenti selepas mendapat projek cuci kapal di Desaru,” katanya.
“Jadi, kami yang berumur ini beranggapan mungkin, kawasan itu “keras”, itu mungkin apa yang berlaku pada dia yang dia buat pada anak saya ini bukan dia, ilusi dia berfikiran lebih jernih lagi bukan dialah mungkin gangguan" tambah Rosman.
Jenayah | Suspek bunuh isteri, bayi direman 7 hari
Rosman turut menjelaskan sepatutnya suspek dan mangsa dijadualkan bersanding dalam satu majlis resepsi pada 24 Julai ini, selepas majlis nikah kakak mangsa sehari sebelum itu.
Pasangan itu juga sudah mencuba baju pengantin yang akan dipakai untuk majlis berkenaan.
Menurut Rosman, majlis nikah kakak mangsa akan diteruskan beserta majlis tahlil buat mangsa dan bayinya.
Dalam kejadian jam 12 tengahari hari semalam, lelaki berusia 24 tahun disyaki membunuh dengan mengelar isterinya, Hajar Nursyahirin, 26, dan bayinya, Hans Mohd Thakif Amir, tiga bulan.
Kedua mangsa ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher di luar rumah pasangan itu di jalan dewasa kampung bakar batu,
Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga Isnin depan selepas perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Nur Izzaty Muhammad Zahari, yang membenarkan permohonan reman polis di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pada Selasa.
Suspek yang berusia 24 tahun itu tiba di mahkamah majistret sekitar jam 9 pagi dengan kawalan ketat anggota polis.
#mangsa kelar ibu dan anak #suami berbogel naik motor merah #Amir Adam #Hajar Nursyahrin #Hans Mohd Thakif Amir
;