Kes kehilangan bahan api: Enam suspek dibebaskan dengan jaminan polis

Bernama
Julai 24, 2024 03:10 MYT
HUSSEIN: PDRM sedang menunggu beberapa laporan daripada pihak bank sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Enam suspek yang ditahan berhubung kes kehilangan bahan api di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kehilangan bahan api jenis kerosin JET-A1 pada 15 Julai lepas itu.
"PDRM sedang menunggu beberapa laporan daripada pihak bank sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mengenai penahanan tiga anggota polis dalam kes yang sama, beliau berkata siasatan dalaman sedang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Udara Polis serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.
Pada 16 Julai lepas enam suspek termasuk tiga anggota polis berumur antara 31 dan 55 tahun, sehari selepas menerima laporan mengenai kehilangan bahan api itu.
-- BERNAMA
#Hussein Omar Khan #kertas siasatan #kehilangan bahan api #kerosin JET-A1