Kes keganasan rumah tangga di Perlis meningkat

Bernama
Jun 30, 2021 05:24 MYT
Dari Januari hingga Jun tahun ini, terdapat tiga ke empat kes yang membuat panggilan kepada kaunselor untuk meminta nasihat tentang isu yang dihadapi mereka. - Gambar hiasan
KANGAR: Sebanyak 74 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam tempoh Jun hingga Dis 2020, dengan peningkatan berpunca daripada pelbagai faktor, khususnya implikasi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak tahun lepas.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Siti Berenee Yahaya berkata pihaknya dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengambil peduli kepada kes keganasan rumah tangga.
"Setelah diberi sesi kaunseling dan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kes itu dapat diselesaikan cuma ada beberapa kes yang berlaku perceraian," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Siti Berenee berkata pada 2019 dan tahun sebelumnya, terdapat hanya 20 hingga 25 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan dan peningkatan ini berlaku berpunca daripada kekangan sumber pendapatan untuk keluarga sepanjang tempoh PKP.
"Kaedah LPPKN membantu adalah dengan memberi tumpuan sepenuhnya supaya tidak berlaku keganasaan rumah tangga dengan mendekati mereka yang terlibat dengan kes ini.
"Kita mencuba dengan kaedah panggilan telefon kepada kaunselor serta mengambil pendekatan panggilan video dan bertanya khabar kepada yang terlibat," katanya.
Beliau berkata dari Januari hingga Jun tahun ini, terdapat tiga ke empat kes yang membuat panggilan kepada kaunselor untuk meminta nasihat tentang isu yang dihadapi mereka.
"Sebelum PKP hanya terdapat satu hingga dua kes, kadang-kadang isteri ini malu nak bercerita tentang masalah mereka sebab itu mereka tidak menggunakan khidmat kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau LPPKN," katanya
Beliau berkata mereka yang ingin menggunakan khidmat kaunseling boleh menghubungi kauselor menerusi talian 0149559434 (LPPKN) dan 0134552651 (JKM).
#perintah kawalan pergerakan #PKP #Siti Berenee Yahaya #keganasan rumah tangga #Perlis #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm
;