Kes kebocoran data peribadi penderma organ masih dalam siasatan - KPN
Astro Awani
Januari 30, 2018 16:48 MYT
Januari 30, 2018 16:48 MYT
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman masih menjalankan siasatan berikutan berlakunya kebocoran data peribadi lebih 220,000 penderma organ dalam talian.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya masih memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan berhubung perkara berkenaan.
"Kes kebocoran data peribadi penderma organ masih dalam siasatan pihak JSJK," kata Mohamad Fuzi dalam sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.
Jelasnya lagi, kertas siasatan masih dijalankan walaupun tiada sebarang perkembangan terbaru.
Isu kebocoran data itu sebelum ini didedahkan dan disiarkan di laman web lowyat.net.
Ia juga laman web yang sama yang membuat pendedahan mengenai kebocoran data 56 juta pelanggan telefon mudah alih di Malaysia tahun lepas.