Kes Jong Nam: Lebih 100 pengamal media berkumpul seawal jam 2 pagi di KLIA
Astro Awani
Mac 30, 2017 03:19 MYT
Mac 30, 2017 03:19 MYT
Lebih kurang 100 pengamal media tempatan dan antarabangsa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak jam 2.30 pagi untuk membuat liputan ketibaan sembilan warga Malaysia dari Korea Utara.
Warga Malaysia tersebut dijangka tiba kira-kira jam 5 pagi Jumaat.
Rakyat Malaysia yang akan tiba ialah Penasihat Keselamatan Kedutaan Malaysia di Korea Utara, Mohd Nor Azrin Md Zain dan isteri, Iza Karmila Ramli serta tiga orang anak, Annur Zuaikha, Aynur Zhafirah dan Ayscha Zinnirah.
Warga Malaysia lain termasuk Pembantu Tadbir, Nirmala Malar, Pembantu Peribadi Duta, Noor Saadiah, Ieda Jamaludin dan Mohamad Redzuan Othman.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kesemua rakyat Malaysia yang 'terperangkap' daripada meninggalkan Korea Utara kini dibenarkan pulang ke tanah air sejak 7 Mac lalu.
Najib berkata kesemua mereka berlepas dari Pyongyang pada pukul 7.45 malam tadi (waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pukul 5 pagi Jumaat.